Berita

Amaran cuaca buruk dan waspada di Sarawak sehingga esok

KUALA TERENGGANU, 6 Nov -- Seorang wanita menggunakan payung ketika hujan separa lebat ketika tinjauan di Pasar Payang hari ini.
- Diterbit 13 Januari 2021 1:15 AM MYT

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Sarawak, sehingga esok (14 Jan).

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan diramal berlaku membabitkan Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman manakala amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Sementara itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Sabah melibatkan Sandakan (Kinabatangan dan Beluran) serta Kudat sehingga hari ini (13 Jan).

“Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di Sarawak dan Sabah.

“Angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 km/j dengan ombak melebihi 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak dalam tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh sama, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60 km/j dengan ombak melebihi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Sabah Barat dan Labuan.

MetMalaysia memaklumkan kejadian ini boleh menyebabkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai di kawasan terbabit. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas