Berita

AADK anjur program tingkat kesedaran bahaya dadah di Labuan

ABD Gani (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Persatuan Permotoran Dua Roda Labuan selepas menyertai konvoi Island Bikers Endemic Gathering 2022 di Desa Tunas Hijau, pada Sabtu.
- Diterbit 11 Jun 2022 4:20 AM MYT

BAGI meningkatkan kesedaran bahaya dadah kepada golongan belia khususnya ‘mat motor’, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Labuan menganjurkan Program Island Bikers Endemic Gathering 2022 bersama golongan itu, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai AADK Labuan, Abd Gani Keruput penganjuran program itu turut bekerjasama Pertubuhan Permotoran Dua Roda Labuan dan Skuad Antidadah Labuan.

Katanya, lebih 1,000 penyertaan kelab-kelab permotoran daripada Sabah, Sarawak dan Labuan yang turut serta pada program tersebut.

“Program ini memfokuskan kepada golongan sasar untuk kita menyampaikan program pencegahan dadah khususnya di Labuan dan Sabah.

“Kita memberikan kesedaran dan pada hari ini mereka telah melakukan satu ikrar bahawa mereka akan membantu bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Dengan ikrar itu mereka telah menyokong bahawa kempen memerangi dadah ini daripada golongan ‘bikers’, katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Island Bikers Endemic Gathering 2022 di Desa Tunas Hijau, pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata dengan penganjuran program itu turut membantu meningkatkan semula ekonomi pulau itu yang terkesan selama dua tahun susulan pandemik COVID-19.

“Kita juga mahu membantu memulihkan ekonomi Labuan dan harap dengan penganjuran program ini yang melibatkan peserta dari luar dapat membantu merancakkan semula ekonomi pulau ini,” katanya.

Terdahulu, program Island Bikers Endemic Gathering 2022 selama tiga hari itu menyediakan pelbagai pengisian antaranya AutoShow, Persembahan Pentas, Ride ‘Kenali Labuan’ Sunset Rider serta pelbagai jenis pertandingan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas