Berita

Taekwondo wadah penyatuan remaja sekolah

- Diterbit 7 November 2019 6:15 AM MYT

Oleh Abdul Razak Idris

SHAH ALAM – Kejohanan Seni Bela Diri Taekwondo Piala Menteri Wilayah Persekutuan bagi sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan berlangsung pada 30 November ini bakal menghimpunkan ratusan jagoan seni mempertahankan diri.

Kejohanan yang bakal berlangsung di Dewan Seksyen 19, Shah Alam, Selangor itu dilihat dapat merancakkan aktiviti badan beruniform yang bercorak seni mempertahankan diri dalam kalangan pelajar.

Menurut Presiden Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia, S.Edwin, taekwando bukan sekadar seni tempur malah wadah menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“Aktiviti ini mampu menjalinkan hubungan kukuh antara penggiat seni mempertahankan diri dan dalam masa yang sama menerapkan semangat integrasi murid untuk perpaduan kaum dengan penyertaan pelajar-pelajar sekolah.

“Bukan sahaja itu, peserta sekolah rendah akan dapat peluang mewaklili sekolah masing-masing sekaligus markah tambahan kokurikulum tersebut dapat menyumbang kepada Anugerah Pelajar Cemerlang Kokurikulum.

“Bagi pelajar sekolah menengah pula penyertaan ini sangat penting kerana markah tambahan kokurikulum ini akan memberi kredit 10 peratus untuk mereka layak masuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” ujarnya.

Kejohanan yang dijadual dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad ini melibatkan pelajar sekolah berumur enam hingga 19 tahun ke atas dari seluruh negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas