Berita

Tabung Pahlawan 2019 sasar kutipan RM6 juta

SITI Hasmah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang veteran pada Majlis Pelancaran Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira malam tadi.
- Diterbit 20 September 2019 2:36 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menyasarkan kutipan minimum sebanyak RM6 juta untuk Tabung Pahlawan 2019.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, sumbangan tersebut diperoleh melalui tiga kaedah yang dilakukan untuk tabung tersebut.

“Kaedah pertama adalah melalui sumbangan orang ramai secara atas talian yang boleh dicapai menerusi portal Kempen Tabung Pahlawan.

“Kaedah kedua adalah melalui kutipan jalanan oleh ahli-ahli persatuan Veteran ATM di seluruh negara.

“Manakala kaedah ketiga adalah dari sumbangan syarikat-syarikat korporat yang menikmati kemewahan hasil dari keamanan dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira di sini malam tadi.

Menurut Mohamad, sumbangan yang diperolehi akan diagihkan kepada veteran dan tanggungan mereka yang memerlukan.

“Sumbangan ini akan disalurkan bagi tujuan bantuan kebajikan kepada veteran dan ahli keluarga secara menyeluruh merangkumi Veteran Kelainan Upaya (VKU), bantuan khas kepada balu dan anak-anak dalam kategori OKU.

“Bantuan ini juga turut diperluas kepada veteran yang terlibat dalam musibah kebakaran dan bencana alam, bantuan kerusi roda dan bantuan pengurusan jenazah,” katanya.

Tambah Mohamad lagi, pihaknya mengharapkan agar sumbangan kepada Kempen Tabung Pahlawan ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan bagi membantu Veteran ATM dan tanggungan mereka di masa hadapan.

Kata Mohamad, pihaknya menyeru kepada semua warganegara yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan derma ikhlas sebagai tanda terima kasih di atas keamanan dan keselamatan yang dinikmati.

“Sememangnya wang ringgit bukanlah tukaran kepada keamanan, namun ianya sebagai lambang kita berbahasa kepada mereka yang telah berbudi,” katanya lagi.

Hadir sama Penaung Kempen Tabung Pahlawan 2019, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas