Auto

SYM VF3i LE kuasa ABS lebih tampan

- Diterbit 5 Oktober 2020 1:31 AM MYT

MOTOSIKAL SYM VF3i LE (limited edition) merupakan model edisi terhad yang dinaiktaraf daripada VF3i yang mendapat status moped pertama dunia dikuasakan enjin 185cc.

Menariknya, model LE ini datang dengan panel badan berwarna hitam dan diserikan dengan jalur pelekat hijau terang, sekali gus menjadikannya tampak ‘sporty’ dan elegan.

Malah, rim tayar juga diberi sentuhan berwarna hijau, sementara penghadang angin kecil di atas perumah lampu diberikan terus secara standard.

Setanding penampilan, enjin motosikal turut dipertingkat untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 19.7 hp pada 9,000 rpm dan 17.4 Nm tork pada 7,500 rpm.

Bagaimanapun, ia kekal menggunakan unit satu silinder 183 cc SOHC penyejukan cecair seperti sebelum ini manakala sistem transmisi kekal jenis klac manual enam-kelajuan.

Untuk pengetahuan, SYM VF3i 185 LE merupakan model kapcai pertama di Malaysia yang dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan juga beberapa naik taraf pada bahagian enjin untuk
penunggangan yang optimum dan keselamatan yang maksima.

Penambahbaikkan pada model edisi terhad ini menyebabkan MForce Bike Holdings Sdn Bhd menambah keluaran kepada 10,000 unit sehingga December 2020 berbanding 5,000 unit sebelum ini.

Pengurus Besar Operasinya, Asri Ahmad berkata, kehangatan motosikal SYM VF3i LE semakin membara apabila pihaknya menerima tempahan dan permintaan yang tinggi sejak ia dilancarkan pada bulan Mei lalu.

Ini kerana, katanya, model tersebut ditawarkan dengan harga jualan RM9,338 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan).

“Ingin dimaklumkan bahawa kami menerima jumlah tempahan hampir 10,000 unit sehingga 11 September lalu. Kami amat menghargai sokongan pelanggan serta bakal pelanggan kami,” katanya.

Menurut Asri, pemilik VF3i 185 LE juga dapat menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (yang mana tiba dahulu).

Tambahnya, selain itu, turut diberikan adalah perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas