Berita

Syarikat teknologi asing rekod jualan 4 trilion won di Korea pada 2021

- Diterbit 20 September 2022 12:30 PM MYT

JUALAN oleh Google, Apple dan syarikat teknologi utama asing lain di Korea Selatan, meningkat lebih enam kali ganda pada 2021 berbanding lima tahun sebelumnya, dengan anggaran 4 trilion won (US$2.9 bilion), menurut data yang dikeluarkan pada Selasa.

Yonhap melaporkan bahawa data Perkhidmatan Cukai Negara (NTS), menunjukkan pendapatan bercukai gabungan syarikat teknologi asing itu berjumlah 3.98 trilion won tahun lepas, atau 6.5 kali ganda daripada 612.1 bilion won pada 2016.

Sebanyak 209 syarikat “perkhidmatan elektronik” asing memfailkan penyata cukai korporat dengan pihak berkuasa cukai Korea Selatan pada 2021, meningkat daripada 66, lima tahun sebelumnya.

Google, Apple dan syarikat besar teknologi lain dianggarkan menguasai sebahagian besar daripada jualan firma asing tersebut di sini.

Malah, 10 syarikat teknologi asing teratas, melaporkan pendapatan bercukai berjumlah kira-kira 3.71 trilion won tahun lepas, atau 93.1 peratus daripada jumlah agregat.

Syarikat perkhidmatan elektronik asing tersebut hanya membayar 10 peratus cukai nilai tambah di Korea Selatan kerana mereka tidak mempunyai “tempat perniagaan tetap” di sini.

Sudah ada gesaan di sini supaya cukai pendapatan korporat dikenakan ke atas syarikat teknologi utama asing ini kerana mereka mengelak daripada membayar cukai masing-masing dengan alasan pelayan (server) mereka terletak di luar negara.

Untuk menghadapi situasi tersebut, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) didesak supaya menerima pakai apa yang dipanggil sebagai cukai Google, yang memerlukan mereka membayar cukai satu perempat daripada keuntungan “berlebihan” kepada negara tempat mereka berniaga.

Wakil pembangkang utama Parti Demokrat, Jin Sun-mee, yang meminta data daripada NTS itu, menggesa kerajaan supaya mengenakan cukai ke atas syarikat teknologi asing besar ini secara lebih teliti.

“Struktur keuntungan firma teknologi multinasional perlu didedahkan secara telus, dan hasil tidak langsung mereka, melalui penyalahgunaan penguasaan pasaran, perlu dikenakan cukai secara menyeluruh.

“Kerajaan harus menghalang diskriminasi berbeza antara syarikat multinasional dan firma domestik, dengan merombak sistem cukai antarabangsanya,” kata Jin. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas