Berita

Susun atur lawatan kerja Agong menepati dokumen Warta Kerajaan Persekutuan

rozman agong
ROZMAN (tiga dari kiri) beramah mesra bersama Sultan Abdullah semasa Lawatan Kerja baginda ke Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 30 November 2019 6:04 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Pelaksanaan susun atur sempena Lawatan Kerja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Labuan baru-baru ini dibuat mengikut ketetapan protokol serta keutamaan Persekutuan berdasarkan dokumen Warta Kerajaan Persekutuan.

Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Labuan yang disandang Dr. Fary Akmal Osman dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan pelaksanaan susun atur acara itu dibuat melalui perbincangan bersama bagi mencapai kebaikan dan kesempurnaan perjalanan program.

Jelas beliau, pihak istana juga hadir sehari sebelum program berlangsung bagi memastikan raptai perjalanan program Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berjalan lancar.

“Seperti yang sedia maklum, lawatan kerja berkenaan merupakan jemputan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi merasmikan Kompleks Darul Kifayah Labuan serta Majlis Rahmah Bersama Rakyat dan Pengurniaan Bantuan Kepada Asnaf di Labuan.

“Sebagai persiapan, pada 13 November lalu, satu mesyuarat khas bersama pihak Istana Negara diadakan di Kuala Lumpur yang mana ia dihadiri MAIWP dan pengurusan Perbadanan Labuan (PL) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

SUSUN atur kedudukan adalah mengikut berdasarkan dokumen Warta Kerajaan Persekutuan.

“Beberapa siri mesyuarat seterusnya diadakan di pejabat PL dan MAIWP Labuan sebagai urusan persiapan bersama-sama agensi kerajaan yang berkaitan. Pihak istana juga hadir bagi memberi pandangan dan panduan mengenai perjalanan program serta protokol,” kata kenyataan itu.

Semalam, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Melayu Labuan (DUML), Datuk Seri Mohd. Alias ​​Abd. Rahman mengkritik penganjur (MAIWP) yang seolah-olah mengetepikan protokol istana semasa program lawatan Yang di-Pertuan Agong berikutan mengetepikan peranan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli sepanjang acara tersebut berlangsung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas