Berita

Sumber air segar hidupkan kota

WARGA kota masih tidak dapat lari daripada masalah gangguan bekalan air.
WARGA kota masih tidak dapat lari daripada masalah gangguan bekalan air.
- Diterbit 25 Julai 2019 11:48 PM MYT

Kebanyakan kota-kota besar dunia didirikan di kawasan yang hampir pada air. Sama ada di tepi laut, sungai atau tasik. Tetapi Wilayah Persekutuan mempunyai ketiga-tiganya. Labuan adalah pulau yang dikelilingi air Laut China Selatan. Kuala Lumpur berada di tengah-tengah Su­ngai Klang dan Sungai Gombak. Putrajaya mempunyai tasik buatan yang asalnya tanah lembap atau wetlands.

Air bukan saja memberi kehidupan tetapi mengindahkan kota. Kolam dan air pancut menjadi struktur penting dalam mana-mana kota dunia. Di Kuala Lumpur pada waktu ini, struktur kaitan air paling indah ialah projek River of Life atau Sungai Kehidupan yang menyerikan Sungai Klang berhampiran Kuala Sungai Gombak di mana permulaan kepada penubuhan kota itu.

Seseorang boleh berdiri di Jambatan Sungai Klang yang menghubungkan Lebuh Pasar Besar atau di Stesen Masjid Jamek di Jalan Tun Perak atau Jambatan Pejalan Kaki Sungai Kehidupan yang merentas Sungai Gombak untuk menyaksikan irama pancutan air di kedua tebing Sungai Klang.

Kuala Lumpur adalah kota yang berdiri di atas pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak. Tetapi Kuala Lumpur mempunyai banyak sungai yang lain seperti Sungai Kerayong, Sungai Kuyoh, Sungai Besi, Sungai Pudu, Su­ngai Bunus, Sungai Batu dan lain-lain.

Namun sungai paling utama Kuala Lumpur adalah Sungai Klang yang panjangnya merentas dari Pelabuhan Klang hinggalah ke Ulu Klang, kedua-duanya dalam negeri Selangor menyebabkan kawasan Lembah Klang meliputi kedua-dua Kuala Lumpur, Putrajaya dan daerah-daerah utama negeri itu. Enam daerah Selangor yang dikategorikan sebagai Lembah Klang meliputi Petaling, Gombak, Sepang, Hulu Langat, Klang dan Kuala Langat.

Tetapi Lembah Klang pernah dirujuk sebagai Greater Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Raya. Pun begitu, istilah itu tidak digunakan lagi.

Walaupun Kuala Lumpur dan Klang merupakan bandar penting di sepanjang Sungai Klang tetapi tempat yang menentukan hayat bagi banyak kawasan Wilayah Persekutuan dan Selangor ialah Genting Klang yang berada di hujung Ulu Klang. Di situlah punca bekalan air bagi kawasan-kawasan berkenaan.

Pada hujung tahun 1960-an, Kuala Lumpur belum menjadi Wilayah Persekutuan. Walaupun banyak kawasan di dalamnya, termasuk Petaling Jaya yang ketika itu berada dalam daerah Kuala Lumpur menikmati air paip yang datang dari Genting Klang, terdapat banyak tempat yang masih menggunakan air perigi.

Pada tahun 1965 umpamanya, ketika itu keluarga penulis tinggal di Kampung Malaysia Raya lama tidak jauh dari Sungai Besi, air yang diperoleh datang dari mata air yang dinaikkan dengan menggunakan pam tangan. Begitu juga ketika di Kampung Kilang Papan depan pekan Sungai Besi. Juga di rumah setinggan di kawasan antara Datuk Keramat dan Gurney Road, air yang diperoleh datang dari perigi. Sememangnya ketika itu Kuala Lumpur mempunyai bekalan air tanah bersih yang banyak.

Lagipun sebenarnya Kuala Lumpur dan keseluruhan Lembah Klang adalah daerah yang mempunyai banyak lombong berisi air. Dari Klang hingga ke Puchong, dari Cheras hingga ke Salak South, dari Ampang hingga ke Pandan, Seputih, Kepong, Setapak dan lain-lain tempat du seluruh Lembah Klang terdapat banyak lombong bijih timah. Apabila hujan, air berkumpul di lombong-lombong itu. Ternyata Kuala Lumpur adalah kota air.

Pada tahun 1969 umpamanya, penulis bersekolah di darjah empat di sebuah sekolah di hujung Gurney Road. Dari bilik darjah dapat dilihat kelong lombong bijih timah. Keseluruhan kawasan yang sekarang ini berada dalam Wangsa Maju dan Sentul terdapat banyak lombong. Ketika membuat kunjungan ke kawasan lombong untuk mata pelajaran geografi, guru membawa murid-muridnya melihat kelong itu dari dekat tetapi masih berdiri dalam pagar sekolah.

Ada satu masa pada tahun 1970-an, penulis naik bas dari Kuala Lumpur ke Klang, maka ketika hampir Batu Tiga, dapat diperhatikan kawasan lombong beserta kapal korek. Masa itu Shah Alam belum wujud. Di kawasan lombong itulah kemudian dibangunkan Subang Jaya dan di jalan menuju ke Puchong, di situlah kini terdapat Sunway Lagoon, yang asalnya merupakan bekas lombong.

Pada tahun 1970-an banyak lombong mula dikambus dan ditambak untuk dibina bandar-bandar baharu dan taman-taman perumahan. Akibatnya air, sama ada datang dari hujan di kota ataupun dari bukit-bukit di Hulu Klang tidak mempunyai tempat untuk bertakung. Kalau selama ini air itu masuk ke dalam lombong, tetapi apabila ia sudah tiada, air itu bergenang ke tempat lain hinggalah Kuala Lumpur sering dilanda banjir kilat.

Di Datuk Keramat umpamanya, pada tahun 1967, terdapat dua lombong. Kedua-duanya telah dikambus. Di atasnya kini terdapat Masjid Al-Akram dan Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat. Di sebuah lagi telah didirikan Keramat Mall.

Pada tahun 1975, penulis sering bersiar-siar dengan menunggang basikal dari Datuk Keramat masuk ke Jalan Ampang dan pergi ke kawasan terbuka di belakang Kampung Pandan. Terdapat banyak lombong di situ. Kini kesemuanya telah dikambus dan di situl­ah diwujudkan Pandan Jaya, Pandan Perdana dan Pandan Indah.

Cuba bayangkan kalau semua lombong, atau sekurang-kurangnya kebanyakan lombong itu tidak dikambus tapi dikekalkan sebagai tasik yang dipelihara dengan selamat, maka Kuala Lumpur mungkin muncul sebagai kota taman tasik atau bandar seribu tasik.

Moden

Namun begitu, apa yang menyebabkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang muncul dengan banyak penempatan moden yang baharu dan pesat, ia adalah kerana adanya lombong-lombong yang boleh dikambus dan dibina bandar-bandar baharu.

Namun ada juga bekas lombong yang dikekalkan sebagai tasik dan menjadi tumpuan rekreasi bagi warga kota. Maka ia menjadi Tasik Titiwangsa yang kini sedang dalam pembinaan suai, Tasik Metropolitan di Kepong dan Tasik Permaisuri di Bandar Tun Razak.

Sementara tasik di Mines pula adalah asalnya lombong bijih timah terbuka terbesar dunia. Ia adalah lombong kering dan tidak menggunakan air. Pada tahun 1995, seseorang yang melalui Jalan Sungai Besi boleh melihat lori-lori yang mengangkut bijih timah dalam lombong itu kelihatan kecil kerana kedalamannya. Tetapi kini ia menjadi tasik yang penuh air.

Bekalan air kini menjadi cabaran bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bersama dengan daerah-daerah Selangor lain. Dari segi sistem bekalan air, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak dapat dipisahkan daripada Selangor.

Sebarang kejadian terjejasnya bekalan air akibat pelbagai sebab, umpamanya pencemaran sungai di Selangor pasti ia turut memberi kesan pada Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Penduduk semakin bertambah dan sumber air pula tidak meningkat. Apa yang perlu dilakukan pastinya kepada penjimatan air dan efisiensi salirannya dengan menggunakan sistem dan teknologi terkini. Apa yang dituntut oleh warga kota seperti juga rakyat Selangor adalah bekalan yang sentiasa ada, dan tidak pernah terputus.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas