Berita

Sumbangan YWP ringankan beban penerima

MOHD AZRAN (empat kiri) dan Mohd Fauzi menunjukkan sumbangan yang diterima mereka daripada pihak YWP. Turut serta Zaizalnizam (tiga kiri) dan Mahadi (dua kanan). MOHD AZRAN (empat kiri) dan Mohd Fauzi menunjukkan sumbangan yang diterima mereka daripada pihak YWP. Turut serta Zaizalnizam (tiga kiri) dan Mahadi (dua kanan).
- Diterbit 11 Mei 2021 9:06 AM MYT

SUMBANGAN bantuan peralatan untuk orang kurang upaya (OKU) yang dihulurkan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini memudahkan urusan penerima terlibat yang terdiri daripada kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Salah seorang penerima, Mohd Azran Ridzwan, 34, berkata, sumbangan kerusi khas untuk anaknya yang menghidap sakit saraf amat bermakna.

Katanya, dengan adanya kerusi tersebut, urusan untuk memandikan anaknya menjadi lebih mudah.

“Kedua-dua anak saya mengalami sakit saraf, yang sulung berusia 12 tahun baru sahaja meninggal dunia akibat penyakit yang dihidapinya.

“Kerusi khas berkenaan untuk kegunaan adik perempuannya yang berusia tujuh tahun. Kalau dahulu saya perlukan bantuan isteri untuk memandikannya, tetapi sekarang tidak perlu lagi,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.

MOHD AZRAN bersama anak perempuannya.

Menurut Mohd Azran, anak perempuannya itu mula menghidap penyakit saraf ketika berusia tiga tahun.

Berkongsi keadaan anaknya, dia memaklumkan, tahap kesihatan semakin merosot dan perlu menggunakan mesin untuk sedut air liur selain makan dimasukkan melalui tiub di perut.

Terdahulu, penyerahan sumbangan disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah bersama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Turut sama menerima sumbangan, Mohd Fauzi Abdul Manap, 40, yang berkhidmat di Jabatan Penguatkuasaan DBKL.

Dia menerima bantuan peralatan memanah untuk kegunaan anaknya yang kehilangan kaki kiri akibat kemalangan motosikal pada 2016.

Anaknya merupakan wakil sekolah serta kelab dalam acara sukan memanah bagi kategori OKU dan pernah menyertai pelbagai kejohanan peringkat sekolah mahupun negeri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas