Berita

Sultan Selangor titah solat Jumaat, aktiviti di masjid ditangguh hingga 31 Mei

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (tengah) menitahkan semua masjid tangguh aktiviti hingga 31 Mei. Gambar hiasan Selangor Royal Office
- Diterbit 13 April 2020 6:41 AM MYT

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti-aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di seluruh negeri dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, ini berikutan kebimbangan Sultan Sharafuddin
terhadap 6.5 juta penduduk Selangor yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak ini sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, Sultan Sharafuddin menzahirkan harapan baginda agar tidak ada lagi rakyat Selangor yang akan dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

“Namun sekiranya wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baharu akan dikeluarkan.

“Baginda turut menitahkan solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zuhur dan solat-solat fardhu serta solat sunat tarawih pada bulan Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing,” katanya.

Mohamad Munir turut memberitahu, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas Sultan Sharafuddin bersama
dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklum balas terkini berhubung ancaman wabak Covid-19 di negeri ini pada hari ini.

Jelas beliau, Sultan Sharafuddin turut berharap supaya setiap rakyat lebih serius dalam usaha mencegah jangkitan wabak ini dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial (social distancing).

“Patuhi peraturan dan arahan kerajaan serta ikuti garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin menegaskan amat penting semua perkara tersebut dipatuhi bagi mengelakkan rakyat daripada berhimpun atau berkumpul yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

“Baginda juga dukacita dengan penyebaran berita-berita palsu dan video-video palsu berkaitan wabak ini yang semakin menular.

“Oleh itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka berita palsu yang boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas