Selebriti

Sultan Selangor memandang serius isu perpecahan orang Melayu

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin binti Abdul bersama pelakon Mat Kilau
- Diterbit 4 Julai 2022 7:47 AM MYT

PERPECAHAN dalam kalangan orang Melayu sejak zaman berzaman lagi seakan tiada penghujungnya. Perbalahan pemimpin politik akhir-akhir ini tiada kesudahan sehingga mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Justeru itu, baginda menyeru rakyat untuk mengambil iktibar dari filem perjuangan Mat Kilau yang kini menjadi femomena di negara ini agar rakyat menyemat rasa cintakan tanahair dan menjauhi segala bentuk anasir yang menjatuhkan maruah bangsa sendiri.

“Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak-pihak luar mudah menguasai kita.

“Jika dihayati dialog yang digunakan dalam filem ini, ianya bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.

“Beta menggalakkan masyarakat negara ini terutama orang Melayu untuk menonton filem ini agar ianya boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran kepada kita semua bahawa sesebuah tamaddun dan Negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama di dalam mempertahankannya,” katanya menerusi facebook rasmi Selangor Royal Office.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin Abdul bersama pelakon Mat Kilau, Fattah Amin dan isterinya, Fazura.

Baginda juga memandang serius terhadap isu perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik Melayu.

“Beta melihat perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang begitu ketara sekarang boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di Negara kita.

“Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran Negara. Walaubagaimana pun beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan.

“Ianya adalah bagi menjamin agar kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di Negara ini,” ujarnya lagi.

Melihat pembangunan negara bergantung kepada kepimpinan yang stabil, baginda berharap segala unsur yang boleh menyebabkan perpecahan dapat dielakkan.

“Pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan Negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.

“Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu dan sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu.

“Di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum.

“Beta menyedari gejala fitnah-memfitnah berlaku dengan berleluasa di kalangan masyarakat. Penyebaran berita-berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu telah mengugat keharmonian masyarakat di negara kita.

“Semua pengkhianatan serta kebencian yang dilahirkan secara terbuka ini seolah-olah sudah menjadi satu budaya di kalangan masyarakat kita. Kita perlu sedar bahawa fitnah boleh mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan Allah S.W.T.

“Agama Islam sendiri menggalakkan manusia untuk berdamai dan bersatu-padu dan melarang umatnya berpecah serta bermusuhan sebagaimana firman Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 103,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas