Berita

Sultan, Permaisuri Johor zahir kata-kata semangat buat petugas perubatan

- Diterbit 25 Januari 2021 9:22 AM MYT

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini berkenan menzahirkan kata-kata semangat kepada petugas perubatan di semua hospital di negeri itu.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim, kata-kata semangat itu dizahirkan menerusi satu poster yang turut ditandatangani secara peribadi oleh baginda berdua.

Poster itu diserahkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu oleh Ketua Pegawai Media Royal Press Office (RPO) Ravi Nambiar dan Penolong Pengarang Berita RPO Muhd Nazri Azmi di Wisma Persekutuan di sini hari ini sebelum diedarkan kepada hospital di seluruh daerah.

Menurut hantaran itu, Raja Zarith Sofiah bertitah poster mengandungi kata-kata semangat tersebut merupakan penghargaan keluarga diraja Johor atas jasa dan usaha berterusan kakitangan perubatan di negeri itu merawat Bangsa Johor yang dijangkiti COVID-19.

“Kami berharap kata-kata semangat ini sedikit sebanyak terus membakar semangat kakitangan barisan hadapan dalam menyampaikan perkhidmatan mereka.

“Kami juga ingin mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 sekali gus mengurangkan beban ke atas sektor perubatan negara kita,” titah baginda.

Hantaran itu juga menyatakan sejak penularan pandemik COVID-19, keluarga diraja Johor telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti peralatan perubatan dan makanan asas kepada golongan yang memerlukan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas