Berita

Sultan Abdullah kagum kebersihan Labuan

SULTAN ABDULLAH
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merasmikan Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan di sini petang tadi.
- Diterbit 26 November 2019 11:06 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

LABUAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kagum melihat kebersihan serta pembangunan yang dinikmati warga setempat di sini.

Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, berdasarkan pemerhatian baginda semasa dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Labuan menghala Kompleks Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan petang tadi, keadaan persekitaran bandar adalah bersih.

“Saya begitu kagum dengan pembangunan yang dinikmati warga Labuan. Begitu bersih, udara pun bersih, kereta pun tidak banyak dan saya percaya warga Labuan berada dalam keadaan sihat, badan yang cergas, minda yang cergas dan insyaAllah akan diberkati Allah,” titah Sultan Abdullah sebelum merasmikan Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan di sini petang tadi.

Pada majlis itu, baginda turut mengalu-alukan kehadiran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan isteri, Datin Seri Zuraida Husin; isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaitun Abu Bakar; Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussein dan isteri, Datin Seri Nor Aziah Mohd. Radzi; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli serta Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah turut menzahirkan kesyukuran kerana dapat kembali ke Labuan selepas hadir beberapa tahun yang lalu untuk beristirahat bermain golf.

“Saya juga dimaklumkan Permaisuri Agong pernah hadir 35 tahun yang lalu sewaktu ayahanda baginda membuat lawatan,” titah baginda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas