Berita

SUKMA 2022: Buka tirai dengan penuh kemeriahan

ISMAIL Sabri (lima kanan) melakukan gimik perasmian SUKMA 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi.
- Diterbit 17 September 2022 4:02 PM MYT

TEMASYA Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 membuka tirai secara rasminya pada hari ini dengan sambutan penuh kemeriahan dalam Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Malaysia XX MSN yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, majlis dimulai dengan ketibaan maskot SUKMA 2022, Oyen diikuti maskot SUKMA pada tahun-tahun sebelum ini.

Seterusnya perarakan masuk setiap kontinjen bermula  dari Terengganu dan diakhiri kontinjen Brunei Darussalam.

Manakala, perarakan bendera SUKMA 2022  disempurnakan oleh empat atlet kebangsaan iaitu Choong Javen (ping pong), Ng Joe Ee (gimrama), R Shamendran (karate) dan Muhammad Aznil Bidin (angkat berat).

Turut diberi penghormatan, bekas ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang membawa dan menyalakan obor SUKMA 2022 selain bacaan ikrar oleh atlet angkat berat negara, Mohd Aniq Kasdan.

Hadir memeriahkan majlis, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan wakil kerajaan setiap negeri yang bertanding.

Terdahulu, SUKMA 2022 kembali dianjurkan dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah selepas temasya dwitahunan itu tidak dapat diadakan pada 2020 di Johor ekoran pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Ia membabitkan sebanyak 426 acara iaitu 223 acara lelaki, 184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis sukan dipertandingkan dengan penyertaan 6,625 atlet dan 2,709 pegawai membabitkan 15 kontinjen negeri termasuk Brunei. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas