Berita

SUKMA 2022: Bola jaring WiPers ke final bola jaring 

PERSAINGAN sengit antara Wilayah Persekutuan dan Selangor yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.
- Diterbit 23 September 2022 8:51 AM MYT

PASUKAN Wilayah Persekutuan (WiPers) mengesahkan slot ke peringkat akhir setelah menewaskan Selangor 63-51 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Kedua-dua pasukan mempamerkan rentak menarik pada awal permainan apabila saling mengejar mata namun Wilayah Persekutuan selaku juara edisi lalu menunjukkan mereka bukanlah lawan yang mudah.

Kapten pasukan bola jaring Wilayah Persekutuan, Leisha Raani berkata fokus utama adalah untuk mempertahankan kemenangan.

“Sudah tentu kami gembira dengan kemenangan dalam perlawanan hari ini. Kami lakukan yang terbaik demi Wilayah Persekutuan,” ujarnya kepada Wilayahku selepas tamat perlawanan.

Tambahnya, meskipun berhadapan sedikit kesukaran namun dengan sokongan jurulatih pasukan mampu menghadiahkan kemenangan.

“Di kuarter ketiga permainan moral pemain sedikit merundum namun dengan sokongan ahli pasukan membantu untuk meletakkan jurang mata yang agak jauh,” katanya.

Pasukan Wilayah Persekutuan bakal bertemu antara Johor atau Pahang di pentas final bola jaring SUKMA XX 2022 yang akan diadakan pada pukul 11 pagi esok. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas