Berita

Suasana tenang sesuai untuk ulangkaji, membaca

PELBAGAI jenis buku disediakan untuk orang ramai.
- Diterbit 26 Oktober 2019 9:29 AM MYT

SETELAH melalui proses pengubahsuaian selama dua tahun, pembukaan Perpustakaan Komuniti Taman Tun Dr. Ismail ditunggu-tunggu oleh semua lapisan masyarakat yang sering menjadikannya sebagai pusat kegiatan mereka.

Seorang warga emas, Gee Peng Chiang, 89, berkata, dia sering menjadikan perpustakaan itu sebagai destinasi utamanya setiap hari.

“Saya gembira kerana setelah menunggu selama dua tahun, akhirnya perpustakaan ini dibuka dan keadaannya lebih selesa dan ceria.

“Saya datang perpustakaan ini setiap hari selepas makan tengah hari untuk membaca buku atau surat khabar. Malah ia telah menjadi rutin harian saya sejak lepas bersara kira-kira 30 tahun lalu.

“Keadaan dan kemudahan di sini sangat baik, dengan serta kemudahan lain yang moden. Amat rugi sekiranya golongan muda tidak memanfaatkan perpustakaan ini dengan baik,” katanya.

Ujar Peng Chiang lagi, rekaan dalaman juga sangat indah dan mesra warga emas selain terdapat lif khusus untuk golongan OKU dan golongan sepertinya.

Sementara itu, seorang pelajar, Mohd. Nor Firdaus Farid, 17, berkata, dia sering menggunakan perpustakaan ini untuk mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah.

“Keadaan di sini tenang dan persekitaran yang kondusif boleh menaikkan semangat untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran.

“Di sini juga terdapat pelbagai buku yang disediakan dan membantu saya dalam membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) awal November ini,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Haris Mazlan, 17, mengakui, dia pertama kali menjejakkan kaki ke perpustakaan tersebut.

“Ini merupakan kunjungan pertama ke sini setelah diajak rakan-rakan untuk mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi SPM nanti.

“Sebelum ini, saya hanya mengulang kaji di rumah, namun keadaan di sini amat berlainan kerana banyak buku dapat membantu saya membuat ulangkaji,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas