Berita

“Suara Perempuan Bukan Aurat, Tetapi Boleh Jadi Haram” – FITRI HARIS

|DR. Fitri Haris bersama rangka kajiannya tentang This Is Nasyid
- Diterbit 16 Disember 2020 10:00 PM MYT

PENYANYI nasyid popular Dr Fitri Haris, 36, menjelaskan ramai yang keliru tentang hukum suara perempuan. 

Menurut juara Gema Gegar Vaganza musim kedua ini, suara perempuan bukan aurat tetapi haram pada keadaan-keadaan tertentu. 

“Saya bukanlah orang selayaknya untuk bercakap, tapi saya ada sedikit ilmu yang boleh dikongsi

“Suara perempuan bukan aurat. Ini berdasarkan daripada jumhur ulama iaitu guru-guru atau tokoh-tokoh Islam dari zaman Nabi lagi, ternyata suara perempuan bukan aurat.

“Tetapi suara perempuan boleh jadi haram  andai kata digunakan untuk menggoda. Dikatakan mengaji berlenggok itu juga haram. 

“Apatah lagi menyanyikan lagu-lagu yang diniatkan untuk menggoda atau meningkatkan nafsu. Pendek kata buat orang lelaki rasa tidak tenteram,” katanya kepada Wilayahku.

Fitri berkata, lagu yang disampaikan oleh perempuan tidak boleh mempunyai unsur menggoda dan penampilan sopan adalah dititikberatkan.

“Jika ini berlaku, boleh jatuh hukumnya haram.  Memang tak boleh. Hukum tetap hukum. Terpulanglah kepada kita mahu ikut atau tidak.

“Jadi di sini saya tegaskan suara perempuan bukanlah aurat tetapi haram pada keadaan-keadaan tertentu,” katanya lagi. 

This Is Nasyid

Dalam perkembangan lain, Fitri kini diberi tanggungjawab besar untuk mengkaji berkenaan muzik nasyid di Malaysia dengan kerjasama yang ditawarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Dana Kandungan Digital (DKD).

Dia turut mendapat sokongan daripada SCIMPA, UUM dan Munsyid Malaysia.

DR. Fitri Haris bersama rangka kajiannya tentang This Is Nasyid

Antara kandungan yang akan dipasarkan kepada umum adalah ‘apakah sebenarnya nasyid? Apakah perbezaan nasyid dengan muzik -muzik lagu ketuhanan yang lain? Apakah elemen-elemen yang diperlukan bagi meletakkan sesuatu muzik itu sebagai nasyid? Siapakah penasyid? 

Fitri yang turut dikenali sebagai Dr.Fit menggunakan modul ‘This Is Nasyid’ yang juga hasil kajiannya dalam menjelaskan secara terpeinci apa itu nasyid dan perkara-perkara berkaitannya.

Program yang berkaitan ‘This Is Nasyid’ ini akan menemui peminat menerusi saluran YouTube Fitri Haris Official bermula 18 Disember ini, jam 9 malam. Jangan lupa tonton ya! – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas