Berita

Staff Rapid KL laluan Sri Petaling jadi bidan terjun

- Diterbit 9 November 2020 10:24 AM MYT

STAFF Rapid KL Laluan Sri Petaling, Shahira Nurdiyana Rauf, 32 tahun bersama rakan sekerja melalui detik cemas dan terpaksa menjadi bidan terjun menyambut kelahiran seorang bayi di Stesen LRT Puchong Prima.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, beliau yang sedang berehat, terdengar jeritan daripada rakan sekerja meminta bantuan.

Didapati seorang wanita yang berusia 36 tahun mengadu sakit perut dan menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan anak berhampiran kaunter tiket.

Melihat keadaan tersebut, kakitangan stesen dengan dibantu oleh penyelia pembersihan membawa wanita terbabit ke bilik rawatan yang terdapat di stesen.

Ketika menanti pasukan perubatan tiba, wanita terbabit telah selamat melahirkan bayi lelaki dengan dibantu kakitangan operasi Rapid KL yang bertindak sebagai bidan terjun.

Wanita dan bayi tersebut dibawa dengan ambulan ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

Shahira Nurdiyana yang baru memulakan tugas setelah selesai cuti berpantang anak kedua rasa bersyukur kerana bayi dan wanita berkenaan dalam keadaan sihat.

Pengalaman melahirkan dua cahaya mata dan sifat keibuan yang dimiliki turut membantu beliau mengendalikan situasi cemas ketika melahirkan bayi tersebut.

Ketika ditanya, beliau yang pada mulanya turut berdebar melalui situasi cemas ini, bagaimanapun terus menguatkan hati dan cuba sedaya mungkin memberi pertolongan kepada wanita terbabit.

Tindakan Shahira telah mendapat penghargaan daripada pengurusan Prasarana. Beliau telah diraikan di dalam majlis ringkas di Ibu Pejabat Prasarana di Menara UOA Bangsar.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Hajjah Norlia Noah menyampaikan saguhati kepada Shahira atas tanda terima kasih syarikat.

Norlia juga turut memuji keberanian dan kebolehan beliau mengendalikan situasi cemas ini selain menyeru agar semua kakitangan dapat mencontohi perbuatan ini dan sentiasa bersedia membantu pelanggan yang memerlukan pertolongan.

Semua kakitangan barisan hadapan Prasarana mempunyai latihan dalam mengendalikan kes kecemasan dan bantuan perubatan asas. Ini termaktub di dalam kursus wajib lulus bagi setiap kakitangan barisan hadapan.

Walaupun skop bidan ini bukan teras petugas barisan hadapan kakitangan rel operasi, namun pengetahuan asas pertolongan cemas yang dimiliki dapat membantu pengguna yang memerlukan bantuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas