Berita

Spot wajib singgah di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia

MUZIUM dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia antara tarikan menarik di tengah bandar Ibu kota Kuala Lumpur yang wajib dikunjungi oleh pelancong dalam mahupun luar negara.
- Diterbit 3 Februari 2023 8:00 AM MYT

GALERI BANK NEGARA MALAYSIA

TERLETAK di Aras 1 pengunjung dapat mengenali fungsi, peranan dan tanggungjawab Bank Negara Malaysia khususnya dalam memastikan kestabilan kewangan dan kemakmuran ekonomi negara.

Galeri ini bukan sahaja memaparkan sejarah awal penubuhan Bank Negara Malaysia (BNM), malah turut mempamerkan replika cek dengan nombor siri 000001 bernilai RM20 juta untuk dijadikan modal mengendalikan bank.

Pengunjung juga dapat mengenali gambar dan tandatangan tujuh bekas Gabenor Bank Negara yang dipaparkan selain boleh merasai berada di dalam bilik Gabenor Negara.

GALERI KEWANGAN DAN PERBANKAN ISLAM

DI sini pengunjung akan menerokai konsep perdagangan dan kewangan awal berasaskan Islam yang telah bermula di Timur Tengah, kemudian tersebar ke Eropah dan kini merangkumi seluruh dunia.

Keunikan rekaan bercirikan seni bina Islam dan penyampaian maklumat interaktif menerusi Video Interaktif Glob pastinya membuatkan pengunjung teruja untuk mengetahui kisah lebih mendalam.

GALERI EKONOMI

IA amat sesuai dilawati oleh pelajar jurusan ekonomi kerana di sini pengunjung dapat mengetahui bagaimana dasar ekonomi mempengaruhi pembangunan negara di samping menerokai perkembangan ekonomi Malaysia.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mengetahui peranan Malaysia dalam ekonomi global serta pencapaiannya dalam sistem kewangan. Terdapat dua tarikan utama di dalam galeri ini iaitu sudut Ekspres Ekonomi Malaysia dan Potongan Surat Khabar Gergasi.

GALERI SENI

MEMPAMERKAN pelbagai koleksi seni Bank Negara Malaysia yang terdiri daripada lukisan, cetakan, lakaran dan arca yang menyorot pembangunan negara serta sokongannya terhadap karya seni.

Berkeluasan 1,000 kaki persegi, Galeri Seni yang terletak di aras tiga ini mempamerkan koleksi karya-karya seni Bank Negara Malaysia dan Asia Tenggara yang diperoleh sejak tahun 1962 dan lukisan seni ini telah dihasilkan oleh pelukis-pelukis tersohor Malaysia seperti Mohd Hoessein Enas dan Yong Mun Sen. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas