Berita

SOP di KLIA terperinci, selamat untuk atlet – Reezal Merican

SOP ketat bagi memastikan keselamatan kontinjen negara yang berlepas ke Olimpik Tokyo berada pada tahap terbaik berikutan wabak COVID-19. Kredit foto oleh: BERNAMA SOP ketat bagi memastikan keselamatan kontinjen negara yang berlepas ke Olimpik Tokyo berada pada tahap terbaik berikutan wabak COVID-19. Kredit foto oleh: BERNAMA
- Diterbit 12 Julai 2021 9:47 AM MYT

KEMENTERIAN Belia dan Sukan, Malaysia Aviation Group (MAG) dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) telah mengaplikasi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi memastikan keselamatan kontinjen negara yang berlepas ke Olimpik Tokyo berada pada tahap terbaik berikutan wabak COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang mengadakan tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, berkata langkah itu merupakan kesinambungan SOP gelembung sukan yang sedang dilalui oleh atlet bakal beraksi di Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

“Saya fikir langkah-langkah yang dibuat oleh MAG dan MAHB ini adalah amat terperinci. Mudah-Mudahan ini akan memberi keyakinan untuk atlet kita yang akan bertanding di Tokyo nanti,” katanya menerusi satu video.

Beliau juga menyifatkan pelaksanaan SOP itu, yang mengambil kira pelbagai aspek bermula dari ketibaan di KLIA sehinggalah persiapan di dalam kabin, sebagai antara yang berjaya dengan kerjasama komprehensif pelbagai agensi seperti Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Reezal Merican berkata proses ketat itu akan turut memberi keyakinan kepada penumpang lain yang tiba di Malaysia dan pihak kerajaan.

“Kalau ada mana-mana organisasi atau sektor lain mahu melihat pengaplikasian SOP yang amat berjaya, boleh datang tengok di KLIA, ia amat ketat namun begitu komprehensif,” katanya.

Barisan atlet seterusnya akan ke Tokyo pada 17 Julai ini selepas pasukan pelayaran berlepas pada 8 Julai dengan protokol keselamatan serupa. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas