Berita

Solat sunat Aidiladha: umat Islam dinasihat patuh SOP – TPM Ismail Sabri

UMAT Islam yang akan menunaikan solat sunat Aidiladha esok diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) solat sunat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Gambar - Harian Metro
- Diterbit 19 Julai 2021 1:01 PM MYT

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan umat Islam yang akan menunaikan solat sunat Aidiladha esok mematuhi prosedur operasi standard (SOP) solat sunat berkenaan seperti ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Hanya diri kita yang boleh jaga nyawa kita sendiri selain ketentuan Ilahi. Kita mesti menang,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sini hari ini.

Ismail Sabri berharap sambutan hari raya korban kali ini akan memberi iktibar tentang erti ‘pengorbanan’ untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 dan membantu negara pulih sepenuhnya.

Katanya, walaupun ia disambut dan diraikan dalam keadaan berjauhan daripada kedua ibu bapa, keluarga dan kampung halaman, namun beliau berharap cabaran pengorbanan ini akan dapat dilalui bersama demi kesejahteraan dan keselamatan insan-insan yang disayangi.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam berkata solat sunat Aidiladha dan khutbah Hari Raya serta ibadah korban bagi tahun ini dibenarkan dengan mengikut ketetapan SOP dan kebenaran pihak berkuasa agama negeri.

Turut dibenarkan ialah takbir Hari Raya Aidiladha di semua masjid dan surau di kawasan dalam Fasa Dua PPN. Lapan negeri yang telah beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini iailah Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun takbir dari rumah ke rumah, jamuan selepas solat sunat Aidiladha, program ziarah, ziarah tanah perkuburan dan rumah terbuka atau majlis jamuan hari raya, adalah tidak dibenarkan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas