Berita

Solat Jumaat ditarik balik kalau tidak patuh SOP

- Diterbit 15 Mei 2020 8:41 AM MYT

PUTRAJAYA – Kebenaran solat Jumaat berkemungkinan boleh ditarik balik jika berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan Pertahanan , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, beliau perlu mendapatkan laporan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terlebih dahulu.

Tambahan pula, beliau menegaskan hari ini adalah hari pertama kebenaran solat Jumaat dibenarkan di beberapa negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

“Hari ini, hari pertama pelaksanaan solat Jumaat, kita belum mendapat maklumat terperinci dan perlu difahami sebelum SOP dikeluarkan, ia perlu dipersetujui melalui muzakarah dan mendapat perkenaan Raja-Raja Melayu dan bagi negeri yang tiada raja, ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.

“Tidak mustahil SOP itu boleh ditarik balik, Menteri Agama akan mengulas lanjut perkara ini. Saya kira penarikan balik kebenaran itu boleh dibuat berdasarkan kes tertentu dengan nasihat diberikan kepada masjid tidak mematuhi SOP atau ditarik balik kebenaran itu, “katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, keputusan berhubung kebenaran perlaksanaan aktiviti keagamaan di rumah ibadat selain agama Islam akan diketahui selewat-lewatnya Selasa depan.

Beliau menambah, Kabinet telah mengarahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berbincang dengan pemimpin lima agama terbesar di negara ini berkaitan SOP untuk membolehkan aktiviti keagamaan dibenarkan di rumah ibadat seperti gereja, kuil, tokong dan sebagainya.

Lima agama terbesar itu adalah Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan Toisme.

“Menteri berkenaan sudah diarahkan untuk melihat dan berbincang bagaimana agama lain juga dapat diberikan kelonggaran berikutan masjid sudah dibenarkan kembali beroperasi,” ielasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas