Artikel

Sokongan di tempat kerja solusi tangani kesejahteraan mental pasca COVID-19

- Diterbit 30 Mei 2022 4:30 AM MYT

NEGARA Malaysia baru-baru ini digegarkan dengan berita kematian seorang pegawai perubatan yang terjatuh daripada asrama kediamannya. Stres adalah antara penyebab yang dikaitkan dengan kematian. Perkara ini merupakan kerugian kepada negara kerana telah membelanjakan banyak wang ke atas pembangunan para pegawai perubatan. Pegawai perubatan graduan merupakan modal insan dan mereka merupakan aset kepada negara kita apabila mereka selesai dari menjalani latihan perubatan atau dikenali sebagai housemanship. Justeru, negara perlu menangani perkara ini dengan baik bagi memastikan perkara ini tidak lagi berlaku di masa hadapan.

Terdapat beberapa faktor penyebab mengapa seseorang menghadapi masalah tekanan perasaan. Antaranya ialah:

STRES

ANTARA faktor penyebab kepada masalah mental ialah stres. Stres akan dialami apabila seseorang merasa tekanan perasaan atau emosi disebabkan oleh desakan masa, kewangan dan orang dalam melakukan sebarang pekerjaan atau tugasan. Stres juga dialami apabila kita menghadapi konflik dan persimpangan pemilihan dalam membuat keputusan.

BULI

SELAIN itu, stres juga dialami apabila seseorang dibuli oleh orang lain. Antara sebab mengapa orang suka membuli ialah kerana faktor peribadi dan juga budaya di tempat kerja. Faktor peribadi seperti latar belakang pendidikan dan keluarga boleh mencorakkan personaliti seseorang sama ada suka membuli ataupun tidak. Budaya tempat kerja juga yang mana tiada kawalan atau mempunyai kawalan yang lemah terhadap perkara buli boleh menyebabkan mangsa buli merasa mereka tidak dihargai di tempat kerja. Pendek kata, sekiranya seseorang itu merupakan mangsa buli, mereka mempunyai kemungkinan untuk membalas dendam dan melakukan perkara yang sama kepada orang lain yang dipandang lemah oleh mereka.

KEGUSARAN

KEGUSARAN atau ‘anxiety’ ialah perasaan runsing dan bimbang yang melampau. Apabila seseorang itu berada dalam keadaan stres yang terlalu lama, ia akan membawa kepada keadaan kegusaran dan ‘burnout’.

BURNOUT

‘BURNOUT’ berlaku apabila seseorang itu tidak dapat menumpukan fikiran, tidak fokus, atau memberi perhatian terhadap pekerjaannya disebabkan oleh keletihan emosi yang amat sangat. Perkara ini boleh menjangkiti pekerja lain sekiranya ia tidak ditangani dengan segera. Burnout pekerjaan boleh menyebabkan seseorang itu tidak hadir bekerja atau melepak dan mempunyai niat untuk berhenti kerja. Malah, ia mempunyai kaitan dengan kesakitan fizikal seperti sukar bernafas, sakit dada, hilang selera makan dan pening kepala.

KEMURUNGAN

KEMURUNGAN atau dengan kata lain depression adalah satu perasaan apabila seseorang itu mempunyai fikiran untuk membunuh diri. Ini berlaku apabila perasaan stres tidak dapat dibendung dan seseorang merasakan tiada jalan keluar daripada masalah itu melainkan dengan membunuh diri bagi menamatkan masalah tersebut.

Bagi menyelesaikan masalah-masalah ini dan memastikan tiada warga kerja yang mempunyai pemikiran negatif atau membunuh diri, sesebuah organisasi perlu membuat tindakan pantas dalam mereka bentuk pelan tindakan yang mencakupi setiap tahap organisasi. Dengan itu, perlindungan adalah menyeluruh bagi melindungi modal insan dan aset organisasi. Setiap tahap organisasi perlu mempunyai komiti yang bertindak bersama bagi membendung perkara ini daripada berlaku. Perkara buli perlu dilaporkan dan diambil tindakan segera. Selain itu, komiti ini perlu menganjurkan ceramah keagamaan bagi mengisi jiwa pekerja yang kosong agar mereka mensyukuri rahmat dan reda dengan ujian yang diberikan oleh Tuhan.

Majikan juga perlu menunjukkan perasaan empati apabila pekerja mereka merasa tertekan, risau atau burnout. Jelaskan jangkaan mengenai jenis dan jumlah tugasan serta prestasi yang dikehendaki dari para pekerja. Sediakan bahan, peralatan dan maklumat kepada mereka agar mereka dapat bekerja dengan selesa dan dapat menyelesaikan tugasan mereka dengan pantas. Kongsikan bersama perasaan kecewa mereka mengenai sesuatu perkara secara produktif. Berikan penghargaan dan pengiktirafan. Pujian juga penting bagi memotivasikan mereka untuk bekerja dengan lebih keras di masa akan datang. Biasanya, pekerja akan lebih bertenaga, kreatif dan boleh diharap apabila mereka dipuji.

Sementara itu, perlu ada sebuah pusat dalam organisasi yang menjaga kesihatan mental para pekerja mereka. Pusat ini boleh menganjurkan pemeriksaan mental setiap tahun dan mengadakan atau meraikan hari mental sedunia pada setiap 10 Oktober dengan mengadakan ceramah kesedaran tentang kesihatan mental. Mana-mana warga kerja yang gagal dalam pemeriksaan mental tersebut perlu menjalani terapi sama ada oleh kaunselor atau pakar psikiatri.

Organisasi juga perlu memberikan sokongan dari segi kewangan agar pekerja tidak merasa terbeban dengan masalah kewangan mereka. Walaupun tidak banyak yang boleh diberikan oleh organisasi, sekurang-kurangnya keprihatinan yang dicurahkan oleh organisasi dapat menenangkan fikiran dan perasaan pekerja bahawa mereka masih disayangi dan diperlukan.

Pendek kata, sokongan dari segi emosi, maklumat dan fizikal adalah penting bagi pekerja untuk dapat menyumbang tenaga, fikiran dan masa mereka kepada organisasi. Ini penting bagi kedayasaingan dan kelestarian organisasi pada masa akan datang. – WILAYAHKU

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di amieazmi@ um.edu.my. 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas