Berita

“Soal politik letak tepi buat sementara” – Azzam Sham

- Diterbit 17 Januari 2021 12:31 PM MYT

PELBAGAI reaksi timbul, positif dan negatif apabila Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan darurat politik sehingga Ogos ini.

Bagi juara Big Stage 2020 Azzam Sham, 23, dua perintah ini adalah untuk kebaikan rakyat sebelum menemui vaksin COVID-19. 

“Pada pandangan saya, untuk menurunkan kadar kebolehjangkitan COVID-19, langkah ini amat bagus diambil.

“Biarpun tidak arif dalam soal politik, saya rasa lebih elok jika soal politik ini diletak tepi buat sementara waktu kerana saya yakin semua rakyat mahu sihat sejahtera dan bebas dari wabak ini.

“Dua perintah ini wajar dilaksanakan walaupun terdapat beberapa kekurangan dari segi ekonomi.

“Kita kena faham situasi sekarang dan tak boleh nak tunding jari atau salahkan sesiapa pun. Memerangi COVID-19 adalah tanggungjawab kita bersama dan bukan hanya kerajaan,” ujarnya yang berharap vaksin segera ditemui agar pandemik dapat dihentikan.

Pasal kerjaya, lagu nyanyian Azzam Sham berjudul  Cinta Jangan Pergi ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Fedtri Yahya mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan peminat.

“Terima Kasih kepada semua peminat yang tidak jemu-jemu menyokong lagu Cinta Jangan Pergi.

“Walaupun dalam tempoh PKP, saya tetap mempromosi lagu ini di media sosial kerana inilah hadiah saya Buat peminat setelah dinobatkan sebagai Juara Big Stage 2020,” jelas Azzam Sham lagi.

Semoga Azzam terus sukses ya! – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas