Berita

Skuad ‘Speedy Tigers’ langkah kiri di Afrika Selatan

- Diterbit 28 November 2022 3:39 PM MYT

MALAYSIA memulakan kempen Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Piala Negara-Negara 2022 dengan langkah kiri apabila tumpas 1-0 kepada juara Asia, Korea Selatan, dalam aksi pembukaan  Kumpulan B, di Afrika Selatan, hari ini.

Ibarat ulangan final Piala Sultan Azlan Shah pada 11 Nov lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan penantian 39 tahun dengan kemenangan 3-2, Korea Selatan menebus kekecewaan dengan mencipta jaringan tunggal seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti oleh Jang Jonghunyun.

Pada perlawanan di Stadium NWU Astro, Potchefstroom, Skuad ‘Speedy Tigers’ kemudian cuba mengejar namun gagal menembusi gawang lawan termasuk gagal melengkapkan dua pukulan sudut penalti  dan satu pukulan penalti sehingga tamat perlawanan.

Ketua jurulatih A. Arul Selvaraj berkata walaupun anak buahnya tewas, tetapi mereka beraksi dengan disiplin dan kemahuan yang tinggi untuk menang.

“Nampak kemahuan dan kecergasan pemain kita lebih baik daripada pemain Korea terutamanya pada suku keempat. Saya rasa kalau kita main dengan tekanan dan kelajuan macam ini, kita boleh menang dengan Kanada esok.

“Namun, kita perlu segera memperbaiki benteng pertahanan dan pemain mengambil semula kedudukan dengan pantas sebelum aksi esok,” katanya menerusi video yang dikongsikan.

Kumpulan B terdiri daripada Malaysia, Kanada, Korea Selatan dan Jepun manakala Kumpulan A dibarisi Perancis, Ireland, Pakistan dan tuan rumah, Afrika Selatan

Pada satu lagi aksi kumpulan sama, Jepun membenam Kanada 3-0.

Selepas liga satu pusingan, dua pasukan terbaik dalam kumpulan layak ke separuh akhir.

Untuk rekod, juara kejohanan itu akan layak secara automatik ke Liga Pro FIH yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia bagi musim 2023-2024. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas