Selebriti

Siti Nurhaliza, Shopee bekerjasama dalam video muzik Medley Klasik Siti 2

|ANTARA babak menarik dalam video muzik Medley Klasik Siti 2.||
- Diterbit 12 Mei 2022 2:44 AM MYT

KEBIASAANNYA, anak-anak kecil akan terhibur apabila menonton video lagu kanak-kanak di YouTube. Apatah lagi jika dipersembahkan dalam bentuk animasi.

Kali ini anak-anak kecil juga boleh mendengar dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana penyanyi yang mesra dengan panggilan TokTi itu tampil dengan video muzik Medley Klasik Siti 2.

Video muzik yang merupakan kerjasama antara Siti dengan Shopee itu dapat ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza sejak 9 Mei lalu.

Penghasilan video muzik Medley Klasik Siti 2 tersebut mengukuhkan lagi kerjasama dia bersama Shopee. Siti juga dilantik sebagai duta tempatan platform Shopee semasa kempen Ramadan dan Raya Bersama Shopee pada tahun ini.

Kerjasama kedua-dua pihak ini telah bermula sejak tahun 2018 apabila Siti menyertai Shopee Celebrity Squad Malaysia dan berkolaborasi menerusi konsert mininya bersama Shopee pada tahun 2019.

Medley Klasik Siti 2 terdiri daripada rangkaian lagu Air Pasang Dalam, LaguTiga Kupang, Anak Odeng dan Kalau Rasa Gembira. Lagu-lagu ini menjadi hafalan kanak-kanak generasi dahulu dan masih diperkenalkan sehingga kini.

ANTARA babak menarik dalam video muzik Medley Klasik Siti 2.

Video muzik animasi arahan M. Husien ini menampilkan maskot Shopee, orang utan, yang bernama Sean & Sophie. Jalan ceritanya pula mengisahkan pada tahun 2170 apabila bumi tidak lagi selamat untuk didiami.

Kisah tentang seorang pemuda yang sedang bersenam di sebuah taman rekreasi hologram berpengkalan di angkasa, secara tiba-tiba dia termasuk ke dalam satu dimensi teleportasi masa lalu di bumi. Di alam dimensi masa lepas ini, pemuda tersebut dapat melihat keindahan flora dan fauna dan juga suasana kampung yang wujud di masa lepas.

“Video muzik dalam bentuk animasi suka ditonton oleh kanak-kanak dan ini merupakan salah satu cara untuk saya memperkenalkan lagu kanak-kanak klasik kepada generasi kini.

”Saya menghasilkan album kanak-kanak ini sebagai khazanah muzik untuk generasi kini dan akan datang dapat menghargai karya terdahulu.

“Saya gembira kerana dapat menerbitkan album yang boleh dijadikan rujukan pada masa depan. Lagu-lagu ini jugalah yang menjadi dendangan orang tua kita satu masa dahulu,” kata Siti.

Menurut Siti, dia cukup gembira dan berterima kasih di atas kerjasama daripada pihak Shopee untuk menghasilkan dan menjayakan video muzik ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas

BERITA SEMASA