Berita

Sinar Kasih YaPEIM ceriakan sambutan Aidilfitri ibu tunggal, 3 anak

ZULKIFLI menyerahkan sumbangan menerusi Sinar Kasih YaPEIM.
- Diterbit 22 Mei 2020 5:25 AM MYT

PUTRAJAYA – Program Sinar Kasih YaPEIM memberi keceriaan kepada seorang seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya dalam menyambut kedatangan Aidilfitri yang bakal tiba.

Menerusi program tersebut, sejumlah RM7,200 disalurkan kepada Ezatul Marini Mohd. Ghazali 47, yang merupakan balu mangsa kemalangan maut, Mohd. Khaizuzafarin Bedalib, 51, pada November 2018.

Sumbangan tersebut diserahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri di kediaman Ezatul Marini di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan Pengurusan Utama serta Pegawai Pejabat Pentadbiran YaPEIM Negeri Selangor.

Menurut Parihah, Program Sinar Kasih bertujuan menyantuni anak-anak yang kehilangan ketua keluarga secara tiba-tiba khususnya yang mengalami kemalangan dan musibah seperti
kemalangan, kebakaran, mati lemas dan bencana alam.

Sehubungan itu, ujarnya, diharapkan bantuan tersebut dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan yang dihadapi penerima dalam menyambut kehadiran Syawal tidak lama lagi.

“Selain itu, dapat menceriakan Aidilfitri mereka sekeluarga,” katanya.

Difahamkan, Mohd. Khaizuzafarin maut dalam kemalangan apabila bas yang dinaikinya terbabas di tebing jalan berbukit berikutan masalah brek di Jalan Ranau-Kudat.

Kejadian ngeri itu mengakibatkan empat lagi penumpang meninggal dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas