Lensa

Simfoni unggas di Taman Burung KL

||||
- Diterbit 20 Disember 2020 2:35 AM MYT

HARI nan indah, sempurna, inilah gambaran sebuah kedamaian saat kaki melangkah masuk ke pintu gerbang Taman Burung Kuala Lumpur.

Pengunjung disambut hangat dan mesra oleh pelbagai kicauan unggas di pagi yang dingin.

Walaupun ia terletak di tengah kepesatan hiruk-pikuk kota yang penuh dengan tekanan, atmosferanya yang tenang, harmoni dan mendamaikan membuatkan perasaan seperti berada di satu sisi kehidupan lain. Apa yang menariknya ialah,
Taman Burung Kuala Lumpur adalah yang terbesar di rantau Asia Tenggara merangkumi kawasan hijau seluas 20.9 ekar.

Di sini, pengunjung akan berpeluang mendekati kehidupan lebih kurang tiga ribu ekor burung dari pelbagai spesis yang terbang bebas dalam suasana taman yang hampir semulajadi habitatnya. Antara burung yang terdapat di sini adalah burung
enggang, bangau, merak, serindit, kakaktua, merpati, punai, nuri, wakwak, burung unta, “flightless bird”, burung hantu dan banyak lagi.

Perasaan teruja pengunjung ditambah lagi dengan sebuah ruangan yang diberi nama “Lories Feeding” iaitu kawasan di mana pengunjung berkesempatan untuk menyentuh dan bermesra dengan memberi burung dari spesis nuri meminum susu dengan bayaran hanya dua ringgit. Pelbagai lagi aktiviti menarik yang disediakan oleh operator Taman Burung Kuala Lumpur antaranya bergambar bersama burung, persembahan burung di Amphitheatre dan pertunjukan cara
memberi makanan kepada beberapa spesis burung.

Bagi wargakota yang ingin merasai pengalaman beriadah bersama keluarga di habitat semulajadi pelbagai unggas, Taman Burung Kuala Lumpur adalah tempat yang tepat. Percayalah, pengalaman ini sangat mengujakan saat kaki melangkah masuk ke sini. – AMIN FARIJ HASAN

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas