Berita

Siasatan tentukan adakah projek kondominium dijalankan ikut spesifikasi atau tidak

KEADAAN runtuhan sebahagian struktur projek pembinaan kondominium di Taman Desa, Kuala Lumpur semalam.
- Diterbit 15 Februari 2020 12:25 PM MYT

KUALA LUMPUR – Susulan kejadian runtuhan struktur projek sebuah kondominium di Taman Desa semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menegaskan, siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian akan dijalankan.

Menurut beliau, laporan secara umum telah diperoleh dan kejadian bukan disebabkan tanah runtuh, hujan dan sebagainya sebaliknya struktur bangunan itu yang bermasalah.

“Runtuhan membabitkan tingkat enam hingga satu kemungkinan besar disebabkan struktur yang tidak cukup kuat.

“Kejadian ini perlu dilakukan kajian lebih mendalam sama ada ia membabitkan masalah asas atau masalah bahagian-bahagian yang tidak cukup kuat ,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Program ‘Kempen Kita’ di Perumahan Awam Seri Perak di sini hari ini.

Sebahagian struktur bangunan yang sedang dibina itu runtuh pada Jumaat lalu hingga mengakibatkan dua mangsa yang juga pekerja warganegara Bangladesh terperangkap di bawah runtuhan.

Kira-kira 150 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pasukan Khas Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STROM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beberapa agensi lain turut terlibat dalam operasi itu.

Khalid berkata, siasatan akan melibatkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Agensi terbabit menjalankan siasatan kejadian itu bagi mengenal pasti adakah projek pembinaan tersebut mengikut proses yang betul dan juga spesifikasi yang telah ditetapkan atau sebaliknya.

Dalam pada itu, arahan telah dikeluarkan agar tiada sebarang kerja dibenarkan di tapak pembinaan itu dalam tempoh siasatan dilaksanakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas