Selebriti

Sherie Merlis buntu…“Tolonglah, saya tak tahu nak buat apa”

- Diterbit 22 Ogos 2021 9:55 AM MYT

PELAKON Sherie Merlis merayu orang ramai membantunya yang masih dalam kebuntuan apabila ahli keluarganya disahkan positif COVID-19.

Ini adalah disebabkan adik perempuannya disahkan positif COVID-19, selepas menjalani ujian calitan di klinik kerajaan. Sebelum itu, dia mengalami demam selama tiga hari.

Apa yang membimbangkan Sherie apabila adiknya disuruh balik ke rumah selepas disahkan dijangkiti wabak tersebut.

“Saya nak tanya sesiapa yang tahu dan boleh tolong, selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mana lagi tempat untuk minta ambil adik saya dan kuarantinkan dia dengan anak kecilnya yang masih menyusu.

“Tolonglah. Saya tak tahu nak buat apa. KKM ‘hopeless’ (tiada harapan). Nak marah saya, marahlah tapi ini kenyataan,” luahnya dalam keadaan sebak menerusi Instagramnya pagi tadi.

Sherie juga berkongsi yang diri dan anak-anaknya terkandas di rumah adiknya itu.

“Saya dan dua anak yang berumur sembilan tahun dan tujuh tahun terkandas di rumah adik. Malah, dalam rumah ini ada juga ibubapa kami. Bapa sakit jantung dan baru keluar hospital.

“Emak ada alzheimer kronik dan hanya terbaring di tempat tidur. Adik pula balik ke rumah dengan keadaan positif dan dia juga ada empat anak berusia tujuh tahun, enam tahun, empat tahun dan 10 bulan termasuk, suaminya.

“Keadaan rumah sesak kerana hanya ada dua bilik, iaitu bilik ibu bapa dan satu lagi saya gunakan,” katanya.

Sherie juga menjelaskan sudah dihubungi KKM, namun pihak terbabit meminta Sherie menunggu sehingga esok.

” Memang tak masuk akal nak tunggu sampai Isnin (esok). Saya dah risau dan hubungi lagi KKM tanya apa yang patut dibuat. Sekurang-kurangnya mereka ada saranan apa yang patut saya buat dengan ada ramai kanak-kanak dan warga emas yang kurang sihat di rumah,” ujarnya lagi.

Menerusi ruangan komen, ramai yang memberi pandangan dan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Sherie.

Semoga segalanya dipermudahkan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas