Berita

Shahidan otai terbaik terajui Wilayah Persekutuan

SHAHIDAN mula bertugas di pejabatnya di Perbadanan Putrajaya (PPj) Rabu lalu.
- Diterbit 4 September 2021 2:00 AM MYT

BERPENGALAMAN luas dalam pentadbiran kerajaan, pelantikan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim  sebagai Menteri Wilayah Persekutuan amatlah bertepatan dengan situasi negara masa ini yang memerlukan sentuhan ‘otai’.

Beliau juga berkelulusan Doktor Falsafah dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menyoroti sosok tokoh yang berasal dari Tambun Tulang, Perlis ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Perlis pada tahun 1995 hingga 2008 dan kemudiannya diangkat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2013 hingga 2018.

Pengalaman pentadbiran kerajaan yang luas dan jitu, pastinya ia menjadi satu kelebihan kepada beliau untuk memacu pembangunan dan kesejahteraan Wilayah Persekutuan.

Malah, ia selari rekod cemerlangnya dalam pengurusan pentadbiran negeri yang merangkumi sektor ekonomi, pendidikan, sosial dan sukan.

Selain itu, beliau yang pernah menyandang beberapa jawatan lain seperti Pengerusi Yayasan (Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga mampu menerajui Wilayah Persekutuan ke arah wilayah yang inklusif melalui perancangan strategik serta pembangunan bersepadu demi kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan.

Beliau yang dilantik semula dalam Jemaah Menteri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas kepercayaan yang diberikan untuk berkhidmat dalam ‘Keluarga Malaysia’.

“Saya cukup berbesar hati untuk kembali berkhidmat sebagai menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan. InsyaAllah saya akan cuba sehabis baik untuk memikul amanah dan tanggungjawab ini.

“Saya percaya kerjasama erat bersama warga Wilayah Persekutuan, jabatan dan agensi nanti dapat diteruskan bagi menyuntik keyakinan baharu untuk negara bangkit melawan COVID-19.

“Sama-sama juga kita doakan agar segala urusan barisan kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-9 ini akan dipermudah demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas