Berita

Sewaan minimum mampu perkasa ekonomi negara

- Diterbit 10 Julai 2020 6:00 AM MYT

PROGRAM Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Pesekutuan (KWP) disifatkan sebagai satu permulaan untuk mengembangkan peluang perniagaan yang baharu kepada anak-anak muda yang berada di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebanyak 1,122 tempat yang wajar direbut oleh semua kerana peluang yang disediakan sukar untuk diperolehi malah dan
ruang niaga terhad.

Pengerusi Aspirasi Gerakan Usahawan Muda Negara (ANGGUN) Noor Laila Husin menyifatkan tawaran program ini bertepatan dengan masa kerana ramai anak muda yang berminat berniaga namun tiada premis.

“Memulakan perniagaan dalam usia muda agak mencabar kerana selain berhadapan dengan kekangan modal, sewaan
premis di bandaraya juga tinggi.

“Program ini, memudahkan anak muda bumiputera untuk berniaga sekali gus memperkasakan ekonomi mereka,” katanya
kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Noor Laila, melalui musibah pandemik Covid-19 yang menyerang negara baru-baru ini, golongan usahawan muda yang menyertai program ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu keusahawanan agar dapat berdikari dan
menyemai sifat usahawan sejati.

“Dunia keusahawan memang mencabar, justeru itu, kerajaan perlu membekalkan kepada mereka ilmu perniagaan dan ilmu pengurusan kewangan agar mereka tidak panik sekiranya berhadapan dengan musibah,” katanya.

Tambahnya lagi, KWP perlu mewujudkan program-program usahawan lain supaya golongan muda yang tidak dapat menyertai program ini tidak terpinggir.

Sementara itu, menurut Pengerusi Yayasan Karisma, Fairuz Jamaludin pula banyak manfaat yang dapat diperolehi dan paling utama bayaran sewa bulanan amat berpatutan.

“Kos sewaan premis di Kuala Lumpur agak tinggi terutama di dalam kompleks membeli belah yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

“Melalui program ini, harga sewaan rendah berbanding lot komersil yang lain. Sekiranya tidak direbut ia satu kerugian,” katanya.

Fairuz yang juga berpengalaman sebagai usahawan selama 20 tahun lalu, menyokong ketegasan Annuar tidak  membenarkan pemohon yang sudah mempunyai premis perniagaan menyertai program ini.

“Peniaga-peniaga yang sudah berniaga jangan bersikap tamak kerana mereka perlu memberi peluang kepada anak muda.

“Namun, sekiranya ada peniaga-peniaga yang berhadapan dengan kerugian di atas faktor premis niaga yang tidak  strategik maka ia wajar dipertimbangkan,” katanya sambil menambah mereka perlu melepaskan premis yang disewa sebelum ini.

Fairuz berkata, Yayasan Karisma menawarkan diri untuk membantu usahawan-usahawan yang dipilih kerana berpendapat proses pengembangan keusahawan perlu dijalankan secara bermentor.

“Sekiranya KWP membuka peluang untuk Mentor Mentee, maka ia satu perkara yang baik kerana usahawan muda ini dapat menimba ilmu secara terus melalui konsep mentor ini,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas