Berita

Seorang anggota TLDM disyaki dijangkiti Covid-19

Gambar hiasan
- Diterbit 21 Mac 2020 6:45 AM MYT

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang anggota daripada KD Mahawangsa disyaki menghidapi Covid-19 setelah isteri beliau bergaul rapat dengan rakan sekerja yang juga disyaki menghidap wabak itu.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika ini, seluruh keluarga anggota yang diklasifikasikan sebagai individu di bawah siasatan (PUI) sedang menjalani kuarantin seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sehubungan itu, TLDM turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan kuarantin ke atas warga KD Mahawangsa setelah maklumat tentang tanda-tanda atau jangkitan Covid-19 diterima.

“Tindakan sama telah dilaksanakan sebelum Perintah Kawalan Keselamatan diisytiharkan dan prosedur ini dilakukan ke atas KD Lekiu yang tamat penugasan mengiringi Kapal Petronas Floating Liquified Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Korea Selatan pada 4 Mac lalu,” katanya.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa sehingga kini, tiada anggota TLDM yang disahkan positif Covid-19 ini, oleh itu masyarakat dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sebaliknya mematuhi peraturan yang dikeluarkan kerajaan.

Tambah kenyataan itu, TLDM masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti biasa serta tidak terjejas dengan penularan Covid-19, sebarang keputusan rasmi atau berkaitan dengan anggota yang dijangkiti hanya akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas