Berita

Sentuhan Kasih Ibu satukan Keluarga Malaysia

DATIN Seri Shamsiah Md Yassin memasak bersama Petugas Dapur Prihatin selama 13 minggu pada setiap hari Rabu di RumahPrihatin@GrandSeasons.
- Diterbit 22 September 2021 12:58 PM MYT

DAPUR adalah tempat sinonim yang diibaratkan sebagai ‘jantung hati’ buat seseorang yang minat memasak. Ruangan ini bukan hanya untuk menyerlah bakat dalam bidang masakan, tetapi ia juga mengeratkan hubungan silaturrahim tanpa mengira status pangkat dan darjat seseorang.

Menerusi program Sentuhan Kasih Ibu @ Rumah Prihatin yang menyaksikan isteri Kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datin Seri Shamsiah Md Yassin menyinsing lengan untuk menyediakan juadah makan malam buat petugas barisan hadapan dan golongan memerlukan telah menyatukan beliau dan petugas Dapur Prihatin.

CHEF Hasnaerdawaty

Ketua Chef Dapur Prihatin, Chef Hasnaerdawaty Md Hanapi berkata, program ini telah memberi peluang untuknya mengenali peribadi isteri Menteri Wilayah Persekutuan dengan lebih dekat memandangkan aktiviti ini adalah yang pertama disertainya sejak suaminya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

“Umum mengetahui, agak sukar buat rakyat untuk bertemu dengan orang atasan seperti menteri dan perlu ada protokol tertentu. Namun, melalui program ini, kami dapat mengenali beliau dengan lebih rapat dan hubungan itu lebih terserlah di samping melakukan kerja-kerja amal bersamanya,” katanya kepada Wilayahku.

CHEF Hasnaerdawaty bersama Datin Seri Shamsiah

Bercerita lanjut, Hasnaerdawaty menzahirkan perasaan teruja dan bersyukur apabila Shamsiah bersetuju dengan ‘lamaran’nya untuk membantunya memasak di Dapur Prihatin.

“Saya berjumpa Datin Seri Shamsiah pada malam sambutan Kasih Merdeka@RumahPrihatin pada 30 Ogos lalu, dan saya mencadangkan kepadanya untuk masak bersama kami bagi menyediakan juadah makan malam untuk kakitangan dan golongan memerlukan.

“Kebetulan beliau memang minat memasak dan gemar agihkan makanan kepada rakyat dan terus bersetuju dengan cadangan tersebut,” katanya.

Tambah Hasnaerdawaty, Datin Seri Shamsiah akan turun memasak bersama-sama dengan petugas Dapur Prihatin setiap minggu untuk menyediakan juadah makan malam sebelum ia diagihkan petugas PriVo.

Hasnaerdawaty turut merancang untuk menerbitkan sebuah buku masakan bersama Datin Seri Shamsiah setelah program Sentuhan Kasih Ibu selesai untuk dikongsikan kepada seluruh masyarakat.

 Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Persekutuan (YWP), Datin Suhaila dan Pengurus Bilik Penginapan Prihatin, Dato’ Aiman Aizuddin Junaidi turut membantu Datin Seri Shamsiah masak di Dapur Prihatin , baru-baru ini. 

Difahamkan, Program Sentuhan Kasih Ibu yang bermula pada 8 September lalu telah memasuki minggu ketiga diadakan di Dapur Prihatin, hari ini.

Selama tiga minggu, program ini turut dibantu oleh isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datin Suhaila dan barisan pengurusan tertinggi RumahPrihatin, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir, Pengarah Pentadbiran dan Program,  Dato’ Aiman Aizuddin Junaidi, Pengurus Bilik Penginapan Prihatin, dan Mohd Fariz Abd Hadi, Pengurus Khidmat Kesihatan Mental Prihatin serta ramai lagi. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas