Seni arca di tengah ibu kota

Seni arca di tengah ibu kota

Oleh AZLAN ZAMBRY

BANDARAYA dan seni sudah pasti berkait rapat antara satu sama lain, malah nilai peradaban sesebuah negara dan bangsa juga berkait rapat dengan nilai seni.

Melalui kesenian dan kebudayaan juga, kemajuan sesebuah negara dan bangsa dapat dinilai melalui penghasilan karya-karya seni yang bermutu dan bernilai tinggi seperti karya klasik daripada negara Eropah yang menampilkan karya agung melalui lukisan atau arca untuk tatapan generasi mendatang.

Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan atau Cendana sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2017 mengorak langkah menganjurkan pameran seni ‘Art In The City 2019’ yang mengumpulkan penggiat seni pelbagai bidang untuk mengenengahkan bakat mereka.

Program ‘Art In The City’ mempunyai beberapa pengisian antaranya seni persembahan, muzik, program pendidikan seni dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia serta forum berkaitan dengan seni.

Melalui kerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cendana turut menampilkan Program Pameran dan Pemasangan Seni Arca Awam di sekitar jajaran Projek River Of Life (ROL).

ARCA Entwine yang terletak berhadapan Masjid Jamek.

Beberapa arca karya seniman tempatan yang dibina mendapat perhatian daripada pencinta karya seni arca dan menarik orang ramai serta pelancong asing untuk melihat hasil seni tersebut.

Antara seni arca yang dipasang dan dipamerkan adalah Dome Of Disapperance, yang berbentuk seperti sangkar terbuka karya Pamela Tan, lulusan Ijazah Senibina dari Universiti Greenwich, Britain yang berasal dari Kuala Lumpur.

Di dalam ‘sangkar’ tersebut, terdapat beberapa perca kain berbentuk empat segi yang digantung. Kain tersebut telah dilukis dengan pelbagai tema yang memaparkan pemandangan dan kehidupan di bandaraya ini.

Arca tersebut dibuat melalui potongan laser ke atas logam untuk struktur itu dan diselaraskan dengan benang kapas.

Bentuk keseluruhannya adalah bersifat kritikan terhadap bandar raya ini yang sebagai sesuatu rangka, rapuh dan cerah, sama seperti bandar raya Kuala Lumpur yang sentiasa berubah-ubah dalam mendepani kemajuan.

Lokasi arca ini adalah berhadapan dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur di atas Dataran ROL.

Selain itu, terdapat arca yang diletakkan berhampiran yang dinamakan sebagai Entwine karya Joshua Teo yang berasal dari Kuching, Sarawak dan bekerja sebagai pereka hiasan dalaman.

ARCA Wayang Tube diperbuat daripada paip PVC diletakkan di kawasan berhampiran bangunan Sultan Abdul Samad.

Arca ‘Entwine’ ini diinspirasikan pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Arca ini juga menggambarkan keprihatinan perekanya mengenai keadaan alam sekitar di ibu kota.

Terdapat sebuah arca yang terletak di belakang Sultan Abdul Samad yang dinamakan sebagai Wayang Tube yang dibuat menggunakan paip PVC yang bersepadu dengan Tiub LED dan logam.

Arca ini diinspirasikan oleh gramophone yang menggabungkan generasi lama dengan baharu melalui seni visual dan muzik.

Inisiatif pemasangan arca ini juga dapat menarik orang ramai menyelusuri laluan pejalan kaki yang dibina sepanjang jajaran projek ROL dan ia pasti memberi ketenangan kepada para pengunjung.

Kesemua arca akan berada di kawasan tersebut sehingga Febuari 2020.

CATEGORIES