Selebriti

Semua orang stres, tapi… – Rahim Maarof

- Diterbit 7 November 2021 3:11 AM MYT

TIDAK terbawa-bawa dengan masalah yang dialami dan sentiasa berfikir positif antara rahsia awet muda penyanyi lagenda Rahim Maarof,66.

Katanya, hati yang tenang dan sentiasa mengawal stres juga antara amalannya dari dulu sehingga sekarang.

” Alhamdulillah saya sihat. Sentiasa amalkan jaga kesihatan mental. Stres itu biasalah semua orang akan tempuh tanpa sengaja, tapi kita kena selesaikan dengan tenang.

“Selain itu, dulu saya suka berbasikal tapi sekarang tidak lagi. Saya hanya buat senaman biasa. Ini penting untuk kesihatan fizikal,” katanya yang popular dengan lagu Cinta Kristal, Usang, Istana Menanti, Layang-Layang, Demi Cinta Kita dan banyak lagi.

Rahim Maarof juga menyatakan beliau melakukan satu perubahan yang besar dalam hidup apabila tekad untuk berhenti merokok.

Walaupun tidak mudah, namun usahanya berbaloi dan memberi kesan positif kepada diri.

“Saya dah berhenti merokok sejak tiga tahun lalu. Dulu saya perokok tegar. Ketika main permainan playstation pun, saya boleh habiskan tiga kotak rokok.

“Sekarang saya boleh duduk sebelah orang yang menghisap rokok atau vape tanpa masalah.

“Saya berhenti merokok akibat batuk teruk selepas satu konsert dengan Man Bai dan beberapa artis lain pada 2018. Ketika itu saya meminta rokok daripada Allahyarham Kelly. Itulah yang terakhir saya menghisap rokok,” jelasnya yang merupakan salah seorang penyanyi yang menjayakan Konsert Rockestra Noltagia di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas