Berita

Sempena perayaan Thaipusam, kebenaran pergerakan sahaja diberi, bukan perarakan – Annuar Musa

|||
- Diterbit 24 Januari 2021 9:48 AM MYT

TIMBUL sedikit kekeliruan dan salah faham oleh masyarakat berhubung kebenaran yang diberikan pihak berkuasa untuk penganut beragama Hindu meraikan sambutan Thaipusam pada 28 Januari ini, kata Tan Sri TPr Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, perkara tersebut berlaku disebabkan tweet ringkas beliau berhubung kebenaran itu, sudah disalah anggap sesetengah pihak kononnya perarakan membawa patung Dewa Murugan dibenarkan.

“Sebenarnya kelulusan diberi Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya pergerakan dan perjalanan membawa patung Dewa Murugan sahaja dibenarkan (dari Kuil Jalan Bandar) ke Batu Caves sewaktu tengah malam atau pada jam 3 sehingga 6 pagi bersama bantuan kawalan PDRM.

“Pergerakan atau perjalanan membawa pergi dan pulang patung ini diiringi tidak melebihi 10 orang maksimum penganut Hindu, tidak boleh singgah di mana-mana lokasi, tidak dibenarkan sebarang muzik dan semua peraturan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dipatuhi.

“Kebenaran ini diberi sejajar dengan toleransi kita di dalam soal hak dan kebebasan beragama yang perlu kita saling hormati,” katanya selepas majlis penyerahan kunci dan surat tawaran menduduki PPR kepada 15 penerima di Dewan Seri Alam, Cheras, hari ini.

Hadir sama ialah, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Cheras, Datuk Mahadi Abd Syukur.

Pada majlis tersebut, 15 orang penerima terpilih daripada keseluruhan 22 keluarga terpilih di atas faktor syarat kelayakannya mencukupi selain dari petimbangan keperluan mereka yang mempunyai anak kecil dan ahli keluarga yang ramai. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas