Berita

Seminar SPM 2020 – medan persiapkan pelajar hadapi peperiksaan

Datuk Kamaruddin Jaffar
- Diterbit 27 Disember 2020 8:30 AM MYT

SERAMAI 40 orang pelajar bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah terpilih mengikuti seminar yang diadakan sebagai antara persiapan akhir sebelum menghadapi peperiksaan itu, pada pertengahan Februari depan. 

Inisiatif digembleng Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPP) Sub Zon 5, Bandar Tun Razak dengan kerjasama Kelab Keris serta Persatuan Penduduk Polis Desa Tasik itu, dilihat bertepatan keperluan pembelajaran semasa para pelajar yang terjejas ekoran penularan Covid-19. 

PERASMIAN seminar disempurna oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar

Pengerusi MPPWP Sub Zon 5, Farouk Mohd Noor berkata, Seminar SPM 2020 julung kali diadakan dengan fokusnya mempersiapkan pelajar tentang  ilmu dan tip-tip asas peperiksaan untuk beberapa subjek teras yang wajib lulus. 

Katanya, hasil dorongan dan penglibatan tenaga pengajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, empat matapelajaran ditekankan pada sesi seminar berlangsung sepanjang hari dikendalikan oleh guru terlatih dalam subjek masing-masing. 

“Dengan tumpuan utama kepada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah adalah diharap semua pelajar dapat menimba ilmu serta membuat persiapan penting hasil tunjuk ajar dari guru-guru yang terlibat. 

“Insiatif diambil memandangkan pelajar perlukan platform ikuti pembelajaran kondusif, namun ia terbatas akibat penularan Covid-19 dan sebabkan mereka perlu belajar sendiri, kurang tumpuan dan tidak dipantau. Maka seminar jadi pemudah cara bagi mereka mengulangkaji sebelum peperiksaan nanti,” katanya selepas perasmian Seminar SPM 2020, di Dewan Serbaguna Persatuan Penduduk Polis, Desa Tasik. 

Perasmian seminar disempurna oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang begitu prihatin terhadap kepentingan pendidikan pelajar selain  memberi sumbangan peribadi bagi pelaksanaan program menjayakan calon SPM 2020 dikawasan Parlimen terbabit.

Mengulas lanjut, Farouk berkata, program sama akan diteruskan di dalam masa terdekat dengan tumpuan kawasan berpenduduk golongan B40 di kawasan selian MPPWP Sub Zon 5.

“Kami sasarkan dua lagi program seumpama ini dilaksanakan untuk membantu para pelajar serba memerlukan di samping menjadi perintis usaha memudahkan akses pendidikan bagi anak-anak golongan susah di Bandar Tun Razak. 

“Jika berdasarkan keperluan, Seminar SPM 2020 ini ingin dijayakan dalam skala yang besar namun disebabkan keperluan pematuhan SOP Covid-19, maka kami bataskannya kepada 40 pelajar setiap sesi diadakan,” jelasnya. – WILAYAHKU – oleh: SYAHIDI BAKAR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas