Berita

Semesta sokong langkah kerajaan buat unjuran tenaga profesional bidang industri kreatif negara

- Diterbit 12 Februari 2021 4:15 AM MYT

INSTITUT Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta) menyokong dan mengalu-alukan langkah kerajaan, membuat unjuran keperluan tenaga profesional baharu bidang industri kreatif dan digital negara, pada akhir tahun ini.

Presiden Semesta Prof Dr Mahadi J Murat berkata, dengan adanya unjuran tersebut, semua pemegang taruh terutama penyedia tenaga profesional dan agensi berkaitan, dapat berkolaborasi membina sinergi baharu bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat, dalam berhadapan cabaran revolusi industri 4.0.

Menurutnya Semesta secara berselang tahun bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), membina laluan tersebut secara bertahap melalui program latihan serta forum Karyawan Filem dan Kandungan Digital Muda sejak tahun 2011, yang disertai lepasan institusi pengajian tinggi dan pengamal muda industri dari seluruh negara.

“Pada masa sama Universiti Malaya-Wales Antarabangsa atau International University of Malaya-Wales (IUMW), juga menawarkan program khas profesional dan ijazah tinggi berkaitan komunikasi, teknologi dan multimedia, serta pengajian perniagaan dan perakaunan, yang mengunjur ke arah keperluan industri 4.0.

“IUMW dimiliki Universiti Malaya dan University of Wales, satu-satunya universiti antarabangsa di Asia yang terbentuk dari gabungan dua universiti terbaik di Malaysia dan di United Kingdom,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Hari ini Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, kementerian itu akan mengeluarkan unjuran bagi jumlah tenaga profesional baharu yang diperlukan dalam industri kreatif tempatan untuk masa depan pada akhir tahun ini.

Katanya selain golongan profesional yang ada pada hari ini seperti doktor, peguam, jurutera dan arkitek, negara juga perlu bersedia untuk menyediakan kumpulan profesional baharu dalam bidang-bidang lain, termasuk daripada dunia digital yang berkaitan dengan industri kreatif. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas