Berita

Semarak Aidilfitri WPKL satukan jabatan, warga kota

ROSIDA (berdiri kiri) dan Kamarulzaman (berdiri kanan) beramah mesra bersama anak-anak yatim pada Program Semarak Aidilfitri WPKL 2023.
- Diterbit 19 Mei 2023 8:50 AM MYT

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri mampu mengeratkan ikatan ukhuwah dan hubungan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, budaya dan agama.

Justeru itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengimarahkan Syawal dengan menganjurkan Program Semarak Aidilfitri Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2023 bertempat di Institut Latihan DBKL pada Selasa.

Majlis tersebut berjaya menghimpunkan seramai 5,000 orang meliputi kakitangan JWP dan DBKL yang turut diserikan dengan kehadiran warga Kuala Lumpur yang turut sama diberi peluang meraikan majlis berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Rosida Jaafar berkata pihaknya bersyukur dan gembira kerana majlis yang berkonsepkan santai tersebut mendapat sambutan menggalakkan meskipun Syawal sudah berada di penghujungnya.

“Saya juga teruja melihat kehadiran orang ramai khususnya warga kota pelbagai bangsa dan agama di atas kesudian meluangkan masa untuk hadir selain ada di antara mereka berpakaian baju Melayu bersampin dan berbaju kurung.

“Lebih menarik, pelbagai juadah turut disediakan di 16 gerai seperti sate, apam balik, nasi minyak, kambing kuzi, cendol, mi kari, laksa dan sebagainya,” kata beliau ketika ditemui pada Program Semarak Aidilfitri Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2023.

Turut hadir memeriahkan majlis, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ts Zahir Hassan dan Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki.

Pada majlis sama, Rosida turut menyerahkan sumbangan Aidilfitri beserta duit raya kepada 300 anak-anak yatim termasuk daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Kuala Lumpur bagi memberi keceriaan kepada mereka sempena Hari Raya Aidilfitri. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas