Artikel

Semangat Keluarga Malaysia memeriahkan sambutan Aidilfitri

PENULIS bersama rakan sekerja bergambar kenangan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
- Diterbit 20 Mei 2022 10:00 AM MYT

BUANG yang keruh, ambil yang jernih. Peribahasa tersebut bermain di fikiran saya sepanjang cuti umum sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ini didorong oleh sifat bermaaf-maafan yang ditunjukkan oleh semua rakan sekerja sebelum bergerak pulang ke kampung halaman masing masing.

Tidak asing untuk saya mendengari ucapan “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin” oleh rakan sekerja di pejabat. Di mana saya juga akan membalas ucapan tersebut dengan ayat yang serupa. Ia adalah sesuatu amalan yang bukan sahaja berlandaskan prinsip hormat menghormati malahan adalah sesuatu yang sangat menyentuh hati. Kita perlu menghayati maksud ucapan tersebut. Pada saya ucapan tersebut adalah lebih daripada nilai permukaan. Ia merupakan sesuatu yang mulia dan ikhlas.

Justeru, saya menyeru semua pihak untuk sentiasa muhasabah diri. Jangan melakukan kesilapan yang sama, jangan simpan dendam atau sengketa. Kita semua perlu membuang sikap ego dalam diri.

Masyarakat Malaysia mengutamakan soal budi bahasa dan ini jelas apabila semua orang memang bersopan santun semasa bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri. Namun, pengamalan pertuturan dan tingkah laku yang baik tidak patut hanya dihadkan kepada musim perayaan sahaja. Jadikannya satu amalan hidup seharian.

Dalam pada itu, perlu ingat bahasa mencerminkan keperibadian seseorang. Oleh itu eloklah kita jaga pertuturan masing-masing. Jangan membenarkan emosi mengawal lidah. Sentiasa berhemah dan bersopan santun. Perbuatan tersebut tidak susah dan tidak payah malah tidak melibatkan apa-apa kos.

Perkara ini memang sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia yang merupakan pengerat perpaduan di antara kaum. Rakyat Malaysia telah mengharungi banyak cabaran dan musibah bersama. Namun, apa yang pasti kemenangan dan kejayaan yang dicapai adalah hasil semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama. Inilah Malaysia yang kita kenal. Inilah Malaysia yang kita cinta.

Yeap Ming Liong

Subang Jaya, Selangor

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas