Berita

Selesai isu pewartaan tanah ikut saluran undang-undang – Shahidan

|SHAHIDAN (kanan) beramah mesra dengan seorang perwakilan asing selepas Majlid Makan Malam Sambutan Jubli Emas Bandar raya Kuala Lumpur pada Selasa.
- Diterbit 15 Jun 2022 10:10 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan terbuka dalam isu yang melibatkan pewartaan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru untuk diselesaikan mengikut proses undang-undang sebelum pembangunan semula dapat dilaksanakan di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kerajaan tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk mencabar isu berkaitan pewartaan tanah itu sehingga ia diselesaikan mengikut proses yang dibenarkan.

“Pewartaan itu berlaku pada tahun 2020, bukan sekarang dan saya yang minta ditangguhkan untuk membolehkan mereka selesaikan masalah.

“Sekiranya kita tidak dapat menyelesaikan masalah, kita kena ikut proses undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam Jubli Emas Kuala Lumpur di Taman Botani Perdana pada Selasa.

SHAHIDAN (kanan) beramah mesra dengan seorang perwakilan asing selepas Majlid Makan Malam Sambutan Jubli Emas Bandar raya Kuala Lumpur pada Selasa.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang mahu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa wujud unsur rasuah dalam projek itu, Shahidan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dan bersifat terbuka sekiranya mempunyai bukti.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Terdahulu, Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru pada Ahad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan untuk menghentikan tindakan pemaju untuk mengambil tanah bagi tujuan pembangunan semula.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas