Berita

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh, empat cedera dalam letupan tangki minyak di Thailand

- Diterbit 17 Januari 2023 2:26 PM MYT

SEKURANG-KURANGNYA seorang pekerja dok maut dan empat lagi cedera apabila sebuah lori tangki minyak yang berlabuh untuk kerja penyelenggaraan di Limbungan Ruam Mitr di daerah Muang, Samut Songkhram, terbakar dan meletup.

Media tempatan melaporkan dalam kejadian 9.15 pagi (waktu tempatan) pada Selasa itu, tujuh pekerja turut hilang.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Samut Songkhram berkata dalam kenyataan siasatan awal menunjukkan kapal tangki Smooth Sea 22 itu membawa 16 anak kapal.

“Seorang pekerja ditemui mati manakala empat lagi cedera,” kata kenyataan itu.

Bot pemadam kebakaran bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan memulakan operasi memadam kebakaran, mencari dan menyelamat (SAR).

Letupan kecil susulan turut dilaporkan pada tengah hari.

DDPM berkata kapal tangki itu membawa 20,000 liter petrol dan diesel semasa ia berlabuh di limbungan itu di sungai Mae Klong untuk kerja penyelenggaraan.

Kebakaran dan letupan menyebabkan asap tebal dengan media tempatan melaporkan letupan itu turut memecahkan tingkap rumah berdekatan.

Punca kebakaran sedang disiasat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas