Berita

Sedia hadapi ancaman Covid-19

Gambar hiasan
- Diterbit 13 Mac 2020 4:59 AM MYT

Kemakmuran Kuala Lumpur berkait rapat dengan hubungannya pada dunia. Jadi apabila dunia dilanda penyakit, Kuala Lumpur turut menderita.

BERJALAN merentas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ahad lalu, seseorang dapat merasakan kelengangan. Tidak dapat diketahui sama ada ia ada kaitan dengan kebimbangan orang terhadap Covid-19 atau sememangnya lengang hujung minggu.

Apabila duduk di kedai kopi dalam pusat membeli-belah, maka seseorang akan berasa kelengangannya. Tentulah diharapkan supaya keadaan ini tidak akan lama. Kemeriahan kota adalah penggerak pendapatan warganya dan selanjutnya membekalkan sara hidup mereka.

Tahun 2020 ini adalah suatu yang malang bagi dunia kerana wabak Covid-19. Bermula dari Wuhan, wilayah Hubei di China pada Disember 2019, ia merebak begitu pantas yang akhirnya sampai juga ke Malaysia.

Ini disebabkan bukan saja kerana sifat virus yang masih banyak tidak diketahui itu tetapi juga keadaan dunia yang semakin berkait melalui pengangkutan udara.

Bukan saja manusia bergerak kerana perniagaan malah juga pelancongan menggunakan kapal siar. Dengan China sebagai jentera utama ekonomi pelancongan, maka kesannya dapat dijangka.

Kalau pelancong sudah sampai ke pelosok-pelosok terpencil seperi Artik dan Antartik, apatah lagi bumi Malaysia yang terletak di tengah-tengah laluan.

Wilayah Persekutuan yang di dalamnya terdapat Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan juga bersiap-siaga bagi menghadapi ancaman gelombang kedua Covid-19. Gelombang kedua bermaksud transmisi dalam kalangan penduduk yang tiada rekod pergi ke tempat bergejala.

Gelombang pertama adalah apabila orang bergejala merupakan mereka yang mempunyai rekod perjalanan dari tempat-tempat terkesan. Ketika mula ia berlaku, mereka terdiri daripada warga China yang masuk ke Malaysia melalui Singapura. Mereka dikesan di Johor Bahru yang kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh di Selangor.

Kemudiannya, ada golongan bergejala dibawa ke Hospital Kuala Lumpur yang terletak di ibu negara. Pintu masuk ke negara tentunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak di Sepang tetapi ia dihubungkan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya melalui laluan jalan raya dan keretapi. Bagi keretapi iaitu ERL, ia masuk Wilayah Persekutuan melalui stesen keretapi Putrajaya, Bandar Tasik Selatan dan KL Sentral.

Ancam

Pejabat utama Kementerian Kesihatan yang bertungkus-lumus berusaha menangani ancaman Covid-19 terletak di Putrajaya. Setiap hari mereka mengadakan sidang media untuk memberikan maklumat perkembangan terkini.

Pesanan Kementerian Kesihatan adalah jelas. Pelihara kebersihan diri. Basuh tangan selalu. Pakai penutup muka bagi mereka yang tidak sihat. Elakkan berada di tempat banyak orang. Jarakkan diri dari orang lain.

Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah tempat paling padat di negara ini. Maka ia boleh menjadi punca bagi timbulnya Covid-19. Tetapi virus ini tidak muncul sendiri, ia mesti datang dari tempat lain.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa sebuah bangunan berhampiran KL Sentral dikesan ada orang bergejala. Namun ia tidak melibatkan KLSentral atau bangunan-bangunan lain di situ.

Tetapi tentunya semua warga kota perlu berjaga-jaga. Termasuk apabila ada orang bergejala di Putrajaya. Virus ini memerlukan dua minggu untuk menzahirkan simptom-simptomnya. Maka sebab itu mereka perlu dikuarantin.

Keadaan ini tentunya menjejaskan ekonomi. Bukan saja Malaysia malah di seluruh dunia. Di Wilayah Persekutuan, pelancong kurang datang. Ia pastinya memberi kesan pada industri pelancongan, pengangkutan dan pemakanan.

Dari segi peruncitan dan kedai makan, ia lebih mudah dilihat. Pusat membeli belah tidaklah seramai seperti biasa. Tentu perkara ini mendukacitakan.

Apabila perniagaan merosot, ia pasti bukan saja menjejaskan pendapatan syarikat tetapi lebih penting lagi, ia boleh memberi kesan pada sara hidup para pekerja. Maknanya kehidupan warga kota akan terjejas dan kehidupan mereka dirasakan lebih sempit.

Ekonomi

Maka dalam berada keadaan berjaga-jaga, ia tidak seharusnya menghentikan kegiatan ekonomi. Kehidupan bukan saja perlu diteruskan tetapi ditingkatkan. Untuk berlawan dengan ancaman Covid-19, ia tidak wajar melumpuhkan ekonomi. Kerana kelembapan ekonomi akan menyukarkan lagi usaha pemulihan ini.

Sekali imbas dapat dilihat bahawa banyak peniaga berusaha mengatasi keadaan ini dengan menawarkan jualan menarik. Termasuk dalam industri pelancongan. Maknanya apabila pelancong dari luar berkurangan, maka ia perlu diimbang dengan pelanggan-pelanggan dalam negeri.

Ternyata ancaman Covid-19 bukan saja menjejaskan kesihatan dan ekonomi. Malaysia pasti terjejas juga dengan keadaan ekonomi dunia yang turut terkesan akibat wabak ini. Lebih-lebih lagi dengan dunia hari ini yang berkait rapat dalam segala segi pada China.

Malaysia, khususnya Semenanjung sentiasa menjadi titik temu laluan Barat dan Timur. Kapal dari China, Jepun, Annam dan Siam melalui Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Begitu juga kapal dari Arab, Parsi, India dan Burma. Kuala Kedah, Aceh, Palembang dan Temasik menjadi persinggahan sebelum Melaka muncul sebagai pelabuhan.

Maka ahli geografi Greek Ptolemy membuat peta dengan adanya Semenanjung yang dinamakan Chrysḗ Chersónēsos bermakna Semenanjung Emas. Sememangnya dalam Sanskrit, Semenanjung ini bernama Swarnabumi atau Tanah Emas yang meliputi juga Temasik dan Siam.

Melaka sememangnya dikenali sebagai pusat temu Timur dan Barat tetapi apabila British dan Belanda datang, ia dikalahkan oleh Singapura dan Belanda. Namun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Kuala Lumpur di tengah-tengah Lembah Klang menjadi titik temu Timur dan Barat. Dari laut, mereka datang melalui Port Klang.

Dari darat, stesen bas terletak di Pudu yang mempunyai perkhidmatan bas ekspres dari Melaka yang bersambung dengan Singapura. Menggunakan keretapi, laluannya adalah Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang berhubungan sampai ke Tanjong Pagar, Singapura. Melalui udara, ia adalah melalui Lapangan Terbang Sungei Besi sebelum pindah ke Subang.

Kemakmuran Kuala Lumpur berkait rapat dengan hubungannya pada dunia. Jadi apabila dunia dilanda penyakit, Kuala Lumpur juga turut menderita. Maka adalah suatu yang tidak menghairankan bahawa kesan buruk dari wabak global akan memberi kesan pada Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi apabila ia datang dari Timur.

Semoga warga kota bersiap siaga dan menghadapi keadaan tidak menentu bagi masa akan datang. Kesusahan memberi kekuatan jika dihadapi dengan sikap yang betul supaya masa-masa akan datang menjadi lebih baik daripada keadaan sebelum ini.

Diharapkan wabak ini dapat dikawal dengan keadaan sedia ada pada waktu terdekat dan selanjutnya proses pemulihan dapat dilaksanakan. Harap apa yang dialami China, Itali dan Iran tidak akan berlaku di negara permai ini.

Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dalam industri persuratkhabaran, majalah dan buku. Pernah menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas