Berita

Sebanyak 112 hospital swasta rawat kes COVID-19

KKM mendapat bekerjasama dengan hospital swasta terutama di kawasan bandar untuk merawat kes COVID-19. Foto - Berita Harian
- Diterbit 6 Julai 2021 7:59 AM MYT

SEBANYAK 112 hospital swasta di seluruh negara memberikan kerjasama dalam pengurusan rawatan kes-kes COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dalam sidang media selepas melancarkan Laporan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi 2019-2020 secara maya hari ini, Dr Adham berkata hospital terlibat menyediakan 1,277 katil wad dan 129 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk mengurus kes COVID-19 dalam negara.

“Menerusi Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) 2021, KKM (Kementerian Kesihatan) mendapat bekerjasama dengan hospital swasta terutama di kawasan bandar untuk merawat kes COVID-19,” katanya.

Menerusi Ordinan Darurat itu juga, KKM dapat menggunakan sepenuhnya hospital seperti Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras  bagi merawat kes COVID-19.

Mengenai penglibatan pengamal perubatan swasta dalam pemberian vaksin, Dr Adham berkata terdapat 1,230 pusat pemberian vaksin (PPV) diwujudkan sehingga kini di bawah ProtectHealth, yang diberi mandat sebagai pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta.

Beliau berkata ProtectHealth bersama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 dan KKM akan membuka lebih 30 PPV Integrasi berskala besar seluruh negara sebelum 19 Julai ini.

Menurutnya, PPV di bawah ProtectHealth telah mencapai 110,000 dos sehari pada akhir Jun lepas.

ProtectHealth adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia yang ditubuhkan di bawah KKM dan tidak berasaskan keuntungan. Ia menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif yang berkaitan dengan pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan seperti yang diamanahkan KKM. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas