Berita

Sebahagian laluan MRR2 ditutup enam bulan untuk kerja pembinaan lebuhraya SUKE

LALUAN lebuhraya lingkaran Tengah 2 (MRR2) akan ditutup enam bulan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Sungai Besi - Ulu Kelang (SUKE). Gambar - PROLINTAS
- Diterbit 24 September 2021 9:52 AM MYT

SEBAHAGIAN laluan lebuhraya lingkaran Tengah 2 (MRR2) akan ditutup enam bulan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE).

Dalam satu kenyataan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata penutupan lorong dan laluan kontra akan dilaksanakan di laluan berhampiran Bandar Tasik Selatan dan Terminal Bersepadu Selatan (kedua-dua arah) bagi memudahkan pelaksanaan kerja.

“Pihak konsesi Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) – PROLINTAS sedang melaksanakan kerja-kerja pembinaan crosshead dan tiang portal di sebahagian lebuhraya tersebut.

“Lencongan dan laluan kontra akan mula diaktifkan pada 11 September hingga 10 Disember 2021 bagi Fasa 1 dan 11 Disember hingga 10 Mac 2022 untuk Fasa 2,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi isyarat papan tanda yang diletakkan di lokasi sebagai panduan bagi mengelakkan kekeliruan dan langkah keselamatan.

“Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang PROLINTAS di www.mysuke.com.my atau akaun twitter SUKE di @mySUKEofficial dan boleh hubungi talian hotline 24 jam PROLINTAS di 1 300 88 99 22 untuk keterangan lanjut,” katanya. – WILAYAHKU- HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas