Berita

“Saya tidak pernah kerja sekeras ini”

KHALID SAMAD
KHALID
- Diterbit 4 Julai 2019 6:06 AM MYT

TEMPOH 365 hari menguruskan transisi dan menu­naikan harapan bukan suatu perkara yang mudah. Malah Menteri Wilayah Persekutuan, KHALID ABD. SAMAD menganggap tanggal 1 Julai 2018, merupakan detik permulaan bagi tugasnya yang cukup mencabar. “Saya tidak pernah kerja sekeras ini,’’ akuinya secara jujur.
Namun setelah setahun, Ahli Parlimen Shah Alam ini boleh menarik nafas lega kerana begitu banyak kejayaan telah dapat dilakar dan sedangkan dirintis kementerian di bawah terajunya.
Sempena setahun berada di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, Khalid berkongsi pandangan bersama sekumpulan wartawan termasuk Pengarang Wilayahku, HELMI MOHD. FOAD di pejabatnya baru-baru ini.

Boleh kongsikan apakah cabaran yang dihadapi apabila mula mengambil alih pentadbiran kerajaan dan kejayaan yang dapat dicapai dalam tempoh setahun menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan?

KHALID: Tempoh terawal memang mencabar kerana hendak pastikan ‘hit the ground running’, ia bukan ada induksi atau latihan, bila ambil alih kementerian kita perlu tunjukkan prestasi dengan pantas bermula dari hari pertama. Sebelum ini sebagai pembangkang, tiba-tiba dilantik sebagai menteri, kita terus melaksanakan tugas dan yang cu­kup mencabar ialah hubungan kakitangan awam kerana selama ini me­reka tidak kenal kita, kenal kita hanya pembangkang yang banyak kritik kerajaan.
Kita kena bina hubungan itu supaya mereka kenal apa aspirasi kita dan bukan sekadar itu untuk mereka bersama menghayati dan bersetuju dengan apa yang kita ingin lakukan. Mahu tidak mahu pelaksana semua dasar dan rancangan adalah kakitangan awam. Kita mesti bawa mereka bersama.
Dari segi cabaran dalam dalaman daripada penyokong dan ahli-ahli parti, harapan mereka terlalu tinggi, tekanan kalau boleh hendak melihat perubahan dengan cepat. Yang mana dah berjuang bersama susah-payah bersama-sama tiba-tiba nampak mereka masih pada kedudukan yang sama dan tiada perubahan. Mereka rasa kecewa kerana sepatutnya mereka rasa perlu dimasukkan dalam organisasi tetapi kita tidak boleh memenuhi kehendak semua itu.
Ini yang ditangani, kita hendak bawa dan jentera kerajaan yang masih lagi baharu dengan kita dan orang yang lama dengan kita mula rasa disillusion. Kita hendak sentiasa ingatkan balik penyokong kita bahawa yang kita perjuangkan selama ini bukan jawatan tetapi adalah kerajaan yang bersih dan efisien. Jadi teruslah menyokong kami dan bukannya kita janji­kan jawatan-jawatan, apa yang kita janji­kan ialah bawa satu perubahan dalam pentadbiran.
Pada masa sama dalam keadaan itu, kita dapat mencapai beberapa kejayaan. Terpulang kerpada ma­syarakat untuk menilai. Ada 10 kejayaan dalam setahun antaranya peningkatan pendemokrasian atau perubahan struktural yang telah lakukan dengan memperkenalkan Majlis Mesyuarat Menteri Wilayah Persekutuan dan membentuk Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan melantik Ahli-ahli Parlimen ke dalam jawatankuasa yang telah kita bentuk.
Kedua, kaji kembali projek-projek yang meragukan yang akhir­nya dapat jimatkan RM481 juta bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari segi peningkatan nilai tanah dan membatalkan perjanjian jual tanah pada harga yang murah.
Ketiga, bas Go KL daripada empat line kita tambah dua lagi jadi enam dan kita jangka dapat tambah dua lagi. Dari segi peratusan penum­pang juga sudah tinggi, lebih dari­pada 25,000 sebulan bagi setiap line tambahan kita perkenalkan dan dengan cara itu dapat mengurangkan jumlah kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur ke­rana semakin ramai yang menaiki bas percuma.
Selain itu, kita berjaya terbitkan akhbar mingguan Wilayahku dan pewartaan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 dan kita hendak tuju kepada tahun 2040, walaupun ada kontroversi berhubung pelan mana yang patut kita wartakan, saya ada pandangan saya dan pihak lain ada pandangan mereka sendiri.
Apa yang pernah diletakkan kepada pameran awam pada 2012, kalau hendak wartakan itu sudah tidak munasabah kerana sudah banyak sangat berubah. Dari segi undang-undang anda boleh kata wartakan apa yang telah dipamer kepada awam tetapi dari segi praktikal kita tidak boleh wartakan apa yang telah berlaku, enam tahun yang out dated. Pelan itu sudah berubah dan ada pindaan tetapi yang penting sudah ada keseriusan bagi DBKL untuk mewartakan mana-mana pelan pembangunan supaya pembangunan dapat terkawal, tidak boleh sesuka hati hendak ubah pelan.
Salah satu yang saya seronok ialah penubuhan Majlis Negara Taman kerana kita hendak Malaysia menjadi negara taman, kita hendak tambah lagi kehijauan bunga-bunga. Kita hendak cuba wujudkan satu industri baharu di mana benih bunga-bunga tropika tidak perlu beli dari Belanda. Sekarang bunga-bunga cantik yang kita nampak di tepi jalan itu semua walaupun ia bunga tropikal, benih­nya ditanam di Belanda.
Malaysia dengan sifat negara taman kita akan menjadi sebagai industri bunga-bungan tropikal untuk seluruh dunia. Banyak penyelidikan dan pembangunan perlu dilakukan dan perlukan pelaburan.
Ketujuh, kita beri pengiktirafan kepada atlet Wilayah Persekutuan yang pernah mencapai kejuaraan dalam bidang bina badan di peringkat antarabangsa, kita beri rumah percuma hasil daripada sumbangan salah satu pemaju dan baru-baru ini seorang lagi iaitu Sazali Samad, kita hendak beri kediaman kepada juara dunia 10 kali. Kita cari orang tercicir dan sudah capai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Lapan, bantuan kepada sekolah tahfiz, kita akan beri peruntukan RM1 juta melalui Yayasan Wilayah Persekutuan. Kesembilan, tingkatkan pendapatan melalui pembinaan 10 bagang di Labuan dan kesepuluh, mewartakan Taman Tugu seluas 66.7 ekar yang ini kita sudah serah kepada Amanah Warisan Negara.
Kita juga sudah siapkan kertas kerja Kabinet untuk wartakan Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 400 ekar.

Dalam tempoh setahun itu apakah yang paling mencabar?

KHALID: Isu pewartawaan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 memang dicabar di mahkamah dan juga isu pembangunan Taman Rimba Kiara, selain itu berjalan dengan baik
Usaha untuk wartakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 pula sedang berjalan mengikut jadual dan harapan kita pada hujung tahun ini dapat siapkan draf, awal 2020 kita akan pamerkan dan akhir 2020 kita ada produk diwartakan. Tahun 2021 ke atas kita sudah ada pelan induk dan pelan tempatan untuk bantu pengurusan pembangunan di Kuala Lumpur.
Isu River of Life, kena jelaskan bahawa projek tersebut peruntukannya daripada kementerian tetapi dari segi projek tender dan kontrak di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli).
Saya difahamkan ada sedikit kelewatan kerana Severage Treatment Plant kedua sepatutnya siap pada hujung tahun ini tergendala jadi projek yang sepatutnya siap hujung tahun ini 2020 mungkin lewat sikit dan sedang minta ia ditangani segera.

Bagaimana dengan polisi membabitkan pihak berkuasa tempatan seperti diskaun caj kepada pihak pemaju?

KHALID: Masalah kita dengan setinggan tidak seberapa banyak sangat tetapi masih ada. Selalunya masalahnya setinggan kita serah kepada pemaju untuk uruskan dan kita beri nilai kepada kerja yang dilakukan kos yang mereka perlu tanggung dan kita akan beri diskaun atau kontra dari segi caj pembangunan atau nilai tanah DBKL. Namun bila hendak laksana akhirnya DBKL yang perlu menyelesaikan isu penduduk.
Jadi saya fikir, kita tidak sepatutnya beri diskaun kepada pemaju. Kita perlu kenakan caj pada kadar biasa dan kos menyelesaikan penduduk se­tinggan ditanggung oleh DBKL. Ini membolehkan kos sebenar dapat digunakan kepada penduduk berbanding beri diskaun kepada pihak pemaju. Saya rasa kita tidak perlu meneruskan amalan memberikan diskaun kepada pemaju kerana pada akhirnya DBKL juga yang kena buat.
Ini akan memastikan kita memberikan rundingan yang terbaik dengan penduduk. Kita ingin memastikan penduduk mendapat apa yang terbaik sebagai pampasan terutamanya mereka yang tinggal di situ hingga 30 tahun.
Dari segi lain bagi kepentingan DBKL ialah kita berikan penumpuan kepada pengurusan trafik, kita telah mengarahkan DBKL melantik perunding untuk membuat pilihan bagi mengatasi masalah kesesakan dan bagaimana meningkatkan perkhidmatan awam.
Banyak kajian telah dilakukan sebelum ini, berjuta ringgit telah dibelanjakan tetapi masih belum menampakkan kesannya dan dilakukan melainkan projek LRT dan MRT. Kawasan pusat bandar kita perlukan bas atau tram, ada kajian dibuat kita akan lihat semula dan buat keputusan.

Apakah perkara perlu dilakukan bagi orang ramai mengingati inilah dilakukan pada zaman Khalid Samad.

KHALID: Yang terpenting perlu dijelaskan saya bukan hendak meletakkan satu legasi, itu bukan kita punya matlamat, kita bukan hendak cari perkara yang membeza dengan orang lain. Saya rasa selama ini itu adalah masalah di negara kita apabila masuk menteri baharu dia hendak buat legasi baharu. Bagi saya rasa masalah yang terpen­ting perlu ditangani ialah lalu lintas, keduanya kemiskinan bandar dan ketiga soal kebersihan.
Soal kebersihan pula me­rupakan usaha penguatkuasaan dan kesedaran kempen seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Du­nia 2020. Kita ada dalam masa enam bulan lagi, kita perlu lakukan kempen kerana Malaysia akan dilawati pengunjung dari seluruh dunia.

Mengenai pembangunan semula Kampung Baru, apakah formula terbaik telah dirumuskan?

KHALID: Harapan kita, September ini, kita akan buat satu program, kita akan panggil semua pemilik dan pewaris untuk bentangkan semua cadangan dan dapatkan keputusan sama ada mereka hendakkan pembayaran tunai atau dalam bentuk in kind seperti apartment atau sebagainya.
Berdasarkan itu, kita dapatkan persetujuan daripada semua untuk bangunkan Kampung Baru. Matlamat kita menjelang hujung tahun ini, kita dapat hala tuju lebih jelas, bila semua sudah jelas berapa banyak yang kita perlukan untuk tunai dan in kind. Cara hendak dapat dana seperti mana dinyatakan ada yang kata keluarkan sukuk dan tubuh konsortium pemaju. Sebenarnya bila disebut mahu bangunkan Kampung Baru, ramai yang menyatakan minat termasuk pihak antarabangsa.
Tetapi sudah tentu syarat-syarat untuk Kampung Baru kita kekalkan bahawa pemilikan mesti Melayu, bukan seperti didakwa kita hendak bangunkan Kampung Baru kerana hendak halau orang Melayu, itu mainan jahat pihak pembangkang.
Kita hendak Melayu duduk di situ dan apa yang akan terhasil ialah mereka dapat cairkan aset. Sebenarnya tanah di Kampung Baru mahal nilainya, kalau dijual akan dapat berjuta ringgit, dengan pendapatan itu boleh memiliki lima hingga enam buah kondominuam.
Mereka boleh beli tunai dan agih kepada waris supaya semua dapat bahagian, daripada adanya tanah begitu mahal tetapi nilainya tidak dapat dicairkan, ia jadi kekayaan yang terbenam dan tidak dapat dimanfaatkan.
Kita mahu melalui pembelian (tanah) dan bukannya guna kaedah pengambilan tanah. Kalau pengambilan tanah macam kita hendak ambil alih secara paksa. Seboleh-bolehnya kita tawarkan satu nilai munasabah yang boleh diterima semua pemilik dan pewaris.
Semua orang yang dahulu ada yang bantah, semua sudah tua dan mereka sudah nampak masalah yang dihadapi kerana mereka ada ramai anak, macam mana hendak selesaikan. Kita tidak boleh teruskan dengan cara sekarang, perlu ada satu penyelesaian semua dapat manfaat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas