Berita

“Saya terharu, sebak…” Bekas editor hiburan terima kunjungan Ismail Sabri

||
- Diterbit 1 Februari 2023 11:30 AM MYT

PERDANA Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini meluangkan masa menyantuni bekas wartawan hiburan tersohor Utusan Malaysia, Rosli Manah, 55, di kediaman beliau, di Kajang, Selangor.

Rosli yang juga dikenali sebagai Che Li pernah menabur bakti lebih 26 tahun di Kumpulan Utusan (Melayu) Malaysia Berhad, kini diuji masalah kesihatan yang membataskan keadaan beliau untuk bekerja.

Ismail Sabri tiba pada pukul 3 petang dan meluangkan masa hampir sejam berbual dengan Rosli, isteri Asma Ghani, Aasif Esfan, 26(anak kedua) dan Daniel Ashman, 18 (anak bongsu). Manakala anak sulung Rosli, Dean Ilham, 27, keluar bekerja.

Ismail Sabri secara peribadi mengenali Rosli sebagai wartawan hiburan pada tahun 2007.

Hubungan mereka menjadi akrab selepas Rosli banyak membantu karier Gadaffi (Dafi), yang merupakan anak Ismail Sabri dalam bidang hiburan.

“Terima kasih Ismail Sabri. Saya sangat terharu, rasa sebak pun ada,” katanya yang tidak menyangka mantan Perdana Menteri itu sudi menjejakkan kaki ke rumahnya.

Bagi Rosli, Ismail Sabri yang dikenalinya seorang pemimpin yang prihatin dan cakna terhadap rakyat.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana dikelilingi orang-orang yang sentiasa membantu termasuklah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

“Sepanjang berbual dengan beliau tadi, banyak kata semangat yang diberikan. Beliau berharap saya sentiasa cekal dan tabah hadapi dugaan hidup yang semakin mencabar ini.

“Beliau seorang yang sangat prihatin dan sentiasa memahami situasi rakyat yang sedang menjalani hari-hari sukar. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan beliau,” jelasnya.

ROSLI (Kanan) terharu dengan kehadiran Ismail Sabri yang prihatin terhadap nasibnya.

Sejak Kumpulan Utusan ditutup pada tahun 2019, Rosli melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup keluarganya.

Turut mengiringi Ismail Sabri ialah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik beliau, Datuk Ruhaidini Abd Kadir, Setiausaha Akhbar dan Asyraf Afnan Ahmad Murtadza. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas