Berita

“Saya tak nak putih, salah ke kulit gelap?” -Ayu Damit

Syed Fauzi
- Diterbit 23 Februari 2021 2:00 AM MYT

DI kala ramai wanita sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kulit cerah, penyanyi bervokal mantap Ayu Damit selesa dengan keadaan dirinya sekarang.

Bagi Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 32, dia amat mementingkan kesihatan dan kecantikan, namun tidaklah terlalu obses sehingga hilang identiti asalnya.

“Saya tak nak putih (cerah), salah ke kulit gelap? Iya, saya akui ada makan beberapa jenis suplemen dan menjalani rawatan kulit.

“Namun, itu semua adalah untuk kesihatan dalaman dan penampilan yang perlu dititikberatkan sebagai artis.

“Cukuplah kulit saya bersih dan tiada masalah. Tidak dinafikan, saya ada minum vitamin C untuk menguatkan ketahanan badan. Ia juga mencerahkan tetapi tidaklah terlalu berbeza daripada kulit sebelum ini. Apa yang penting kulit bersih,” ujar Ayu Damit yang berhabis minimum RM10,000 sebulan untuk memastikan penampilan diri kekal menarik.

Bagi Ayu, suka atau tidak, dia harus terima hakikat penampilan menarik amat penting bagi selebriti.

“Alhamdulilah.. Ada beberapa pihak yang sudi menaja rawatan kulit dan memberikan produk kesihatan.

“Kos RM10,000 yang saya sebutkan tadi termasuklah nilai tajaan rawatan yang diberikan kepada saya.

“Terima kasih kepada semua pihak penaja kerana sudi memberikan peluang ini. Saya juga tidak lupa mempromosi jenama mereka di media sosial,” jelas Ayu lagi yang kini popular dengan lagu Permata.

Lagu Permata yang dicipta dan ditulis oleh Mohd. Atlas bersama Zimi Sofazr ini semakin mendapat sambutan ramai.

AYU bersama syurganya, Syed Fauzi

Bagi Ayu, lagu ini ditujukan buat suami tercinta, Syed Fauzi Syed Baharuddin.

“Maksud lagu ini terpulang kepada tafsiran masing-masing. Bagi saya, Permata ini ditujukan buat suami yang sentiasa ada untuk saya dalam apa jua keadaan.

“Sukar hendak disebutkan satu persatu apa yang dia lakukan, terlalu banyak. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan syurga saya ini.

“Para isteri di luar sana juga boleh tujukan buat suami yang banyak berkorban untuk kebahagiaan keluarga.

“Selain itu, apabila dihayati bait-bait lirik lagu Permata, ia juga boleh membawa maksud rasa syukur kepada Allah atas segala nikmatNya,” ujar Ayu lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas