Berita

“Saya Tahu Takkan Hidup Lama”, ALYAH Perbaiki Solat

Afizam Abdul Aziz dan Siti Aisah Muhamad Hamim.|ALYAH menghiburkan tetamu yang hadir pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Zafesha Simply Foundation di Dorsett Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 29 September 2020 4:00 AM MYT

PENYANYI Datin Alyah mengaku hidupnya kini semakin bahagia apabila sentiasa berusaha untuk mendalami agama. 

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 39, mengaku dengan memperbaiki solat dan sering mendengar ceramah agama, membuatkan hidupnya lebih tenang.

“Sebenarnya saya banyak mendengar ceramah agama melalui YouTube kerana kata-kata orang berilmu itu sangat berguna untuk kita. 

“Antara ceramah yang saya sering dengar adalah daripada Ustaz Khalid Basalamah. Menurut beliau, kalau nak hidup bahagia, kenalah berbalik kepada agama. 

“Mungkin kita tidak sempurna seperti Nabi, tapi kita harus cuba buat sehabis baik dalam melakukan apa yang agama tuntut. 

“Apabila saya buat amalan yang disuruh agama, segalanya berubah. Saya dapat mengawal emosi dan rasa hidup lebih ceria seperti kehidupan semasa sekolah dulu,” katanya kepada Wilayahku.

Alyah ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Zafesha Simply Foundation di Dorsett Putrajaya baru-baru ini.

ALYAH sebagai duta Produk Zafesha bersama pengasas Zafesha, Afizam Abdul Aziz dan Siti Aisah Muhamad Hamim.

Pelantun lagu Kisah Hati dan Sesal Separuh Nyawa ini bermula dengan memperbaiki solat dan sering membaca Al-Quran.

“Perkara pertama yang saya lakukan  adalah memperbaiki solat. Sentiasa jaga solat dengan tidak meninggalkannya. 

” Saya buat perubahan itu secara perlahan-lahan. Mungkin sebelum ini saya solat di hujung waktu, sekarang saya berusaha solat pada waktunya. 

“Memang nampak kesan positif dalam diri apabila solat diutamakan daripada hal-hal yang lain. 

“Selain itu, saya banyak membaca  menghafal surah-surah Al-Quran. Ini secara tidak langsung membuatkan hati saya lebih tenang. Suka digambarkan dengan kata-kata. Alhamdulillah,” ujar Alyah  yang tidak mahu mengulangi pangalaman hidupnya yang lalu.

“Allah tak tengok kita yang dulu, tapi Allah tengok usaha di pengakhiran kita. Saya berubah jadi lebih baik bukan untuk orang lain, tetapi saya tahu saya takkan hidup lama dalam dunia ni. 

ALYAH menghiburkan tetamu yang hadir pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Zafesha Simply Foundation di Dorsett Putrajaya baru-baru ini.

“Jadi saya lebih selesa hidup secara sederhana dan tenang. Sudah lama hidup saya kucar kacir sebelum ini. Misalnya gaduh sana sini. Belum lagi termasuk satu persatu kontroversi yang menjadi bualan ramai. 

“Bila saya dapat ketenangan itu, saya rasa tidak mampu untuk saya membelinya setelah 20 tahun bertungkus-lumus dalam industri,” jelasnya lagi.

Semoga perubahan Alyah ini menjadi inspirasi buat semua peminat. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas